Hukuman Syariah Utamakan Pengajaran Berterusan
ISU sebatan Syariah sering dipolemikkan pihak tertentu. Pelbagai persoalan ditimbulkan semata-mata bagi melakar persepsi negatif terhadap hukuman yang diperuntukkan secara sah dalam undang-undang. Ruangan kali ini ingin menjawab beberapa persoalan secara tuntas agar ia tidak lagi dipermainkan oleh pihak berkepentingan.
Sebatan Syariah melanggar prinsip hak asasi manusia kerana kejam, tidak berperikemanusiaan, menjatuhkan maruah.
J: Perlu terlebih dahulu mengetahui bagaimana sebatan Syariah dilakukan, ia amat berbeza daripada sebatan dijatuhkan Mahkamah Sivil. Sila Rujuk Enakmen Tatacara Jenayah Syariah yang memperuntukkan dengan terperinci bagaimana hukuman sebatan Syariah perlu dilakukan. Alat sebatan umpamanya hendaklah daripada rotan atau ranting kecil tiada ruas tidak melebihi 1.22 meter dan diameternya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
Sebatan Syariah amat berbeza dengan rotan di Mahkamah Sivil yang mencederakan pesalah. Sekali rotan untuk pesalah sivil sudah pasti ada yang akan pengsan dan tercedera. Berdasarkan panjang rotan Syariah, diameter dan cara merotan amatlah ringan dan langsung tidak melukakan.
Adalah amat tidak benar dan mengelirukan jika mendakwa sebatan Syariah adalah kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah.
Sebatan Syariah mendiskriminasikan wanita Islam, sebatan Mahkamah Sivil tidak boleh dikenakan kepada wanita berdasarkan peraturan penjara.
J: Apakah yang dikatakan diskriminasi dan adakah semua bentuk diskriminasi melanggar undang-undang? Sebenarnya terdapat beberapa bentuk diskriminasi yang dibenarkan undang-undang. Contohnya positive discrimination, yang berlaku apabila pihak kerajaan memberikan keistimewaan kepada golongan tertentu bagi tujuan tertentu dan ia dibenarkan. Begitu juga discrimination against a class of persons atau diskriminasi terhadap sesuatu golongan tertentu juga dibenarkan. Oleh yang demikian wanita Islam adalah golongan yang tertentu dan boleh dibuat diskriminasi terhadap golongan tersebut selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas kesamarataan.
Sebatan Mahkamah Sivil memang tidak dibenarkan dijatuhkan terhadap wanita kerana sifatnya yang kejam dan mencederakan. Sepatutnya apa yang perlu dilakukan ialah menuntut sebatan itu dimansuhkan. Mungkin ada golongan tertentu beranggapan jika dikenakan kepada lelaki maka hukuman tersebut dibolehkan walaupun ia amat kejam dan menyakitkan. Pendekatan ini amatlah pelik.
Dalam mendambakan kesamarataan penuh, sepatutnya golongan pro hak wanita ini memperjuangkan tiada perbezaan hukuman rotan antara pesalah lelaki dan wanita. Barulah ia sebenar-benarnya memperjuangkan hak sama rata total.
Mangsa sumbang mahram dihukum sebat?
J: Tiada undang-undang yang akan menghukum mangsa jenayah kerana hukuman dijatuhkan kepada penjenayah bukannya mangsa. Dalam mensabitkan sesuatu kesalahan dua elemen penting mesti dibuktikan iaitu actus reus (perbuatan jenayah) dan mens rea (niat melakukan jenayah). Oleh itu, mangsa apa jua kesalahan termasuk sumbang mahram tidak akan dikenakan sebarang tindakan atau pertuduhan malah kerajaan wajib menjaga kebajikan mereka.
Persoalannya ialah kenapa hanya apabila ditangkap barulah wanita itu mengatakannya dirogol dan sebagainya. Mengapa setelah dirogol wanita tersebut tidak terus pergi ke balai polis membuat laporan beliau dirogol. Jika perkara ini dilakukan sudah pasti wanita yang dirogol itu tidak akan didakwa. Bukannya setelah melahirkan anak dan apabila sudah diketahui orang lain barulah mendakwa dirinya dirogol.
Lebih banyak wanita yang dikenakan hukuman sebat?
Hal ini perlu dibuktikan dengan statistik yang sahih. Saya sendiri tidak pasti kebenarannya. Namun undang-undang tidak membezakan lelaki atau wanita, sesiapa jua yang melakukan kesalahan mestilah dihukum tanpa mengambil kira jantina penjenayah.
Konflik Undang-Undang Sivil dan Syariah?
J : Dalam dwi sistem perundangan seperti di Malaysia memang tidak dapat lari daripada pertindihan bidang kuasa. Namun kedua-dua sistem ini mestilah saling melengkapi antara satu sama lain bukannya bersaing antara mereka. Namun Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan seseorang itu tidak boleh dihukum dua kali atas kesalahan yang sama.
Sekiranya seseorang itu disabitkan di Mahkamah Syariah, tidak boleh pula dia didakwa di Mahkamah Sivil dan sebaliknya. Adalah amat malang sekiranya seseorang itu hanya berhujah atas konsep konflik perundangan sahaja tanpa mengetahui skema penyelesaian yang digarap oleh Perlembagaan Persekutuan.
Bagi memahami pelaksanaan sebatan Syariah ini saya bersama beberapa pimpinan PPMM ke Aceh, Indonesia beberapa tahun lalu bagi mempelajari dan melihat sendiri perlaksanaannya di sana. Pelaksanaannya dilakukan di perkarangan masjid selepas solat Jumaat. Saya sendiri melihat pesalah lelaki yang disebat itu berdiri dan memakai baju manakala perempuan duduk memakai pakaian menutup aurat. Setelah hukuman dilaksanakan pesalah sendiri berjalan keluar dari tempat sebatan sambil diperhatikan jemaah. Tidak langsung kelihatan tercedera atau sebagainya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/jawab-persoalan-mengenai-sebatan-syariah-1.430764#sthash.Kmepcbmm.dpuf
Post a Comment