Pindaan Akta 355 tidak bercanggah dengan Perlembagaan
Hujah kerangka atau sifat sekular Perlembagaan itu bukan suatu yang benar kerana banyak pandangan yang menyanggah pendekatan yang meletakkan bahawa kerangka asas Perlembagaan Persekutuan adalah sekular.
KUALA LUMPUR - Cadangan pindaan Akta 355 tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau peruntukan undang-undang lain kerana ia adalah usul pindang yang biasa dilakukan dalam proses demokrasi.
Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, ini adalah proses yang dibenarkan dalam demokrasi secara umum.
Malah, pengenalan kepada usul pindaan ini juga tidak melanggar apa-apa peraturan mesyuarat Parlimen.
Selain itu, Shamrahayu juga turut menepis anggapan bahawa cadangan pindaan ini bercanggah dengan kerangka atau sifat perlembagaan.
“Hujah kerangka atau sifat sekular Perlembagaan itu bukan suatu yang benar kerana banyak pandangan yang menyanggah pendekatan yang meletakkan bahawa kerangka asas Perlembagaan Persekutuan adalah sekular.
“Walaupun pada awalnya kita dapati ada kenyataan-kenyataan yang meletakkan sifat sekular, tetapi bila dilihat kepada peruntukan berkaitan Islam dan ruang sejarah yang lebih makro, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya mempunyai kerangka agama Islam.
“Jelas sekali ia bukan kerangka sekular. Ia dapat dilihat dalam Perkara-Perkara 3, 12(2), 150(6A), 37 dan juga Jadual Keempat,” katanya dalam Taklimat Khas Media Penerangan Usul Pindaan Akta 355, di Ikim, hari ini.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/pindaan-akta-355-tidak-bercanggah-dengan-perlembagaan-1.612702
Post a Comment