Tok Guru Haji Abdul Hadi ambil perhatian orang Cina bina kekuatan bersama
Islam telah menetapkan asas bahawa semua manusia di atas muka bumi ini sejak penciptaannya dari dahulu, sekarang dan hingga kiamat, merupakan satu keluarga walaupun berbagai bangsa, kaum, keturunan, warna kulit, bahasa dan agama. - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
MARANG - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu mengambil perhatian masyarakat Cina untuk membina kekuatan bersama dengan semua warganegara termasuk kaum-kaum lain dalam membawa Malaysia menjadi lebih maju dan makmur.
Beliau berkata, keharmonian dan keberuntungan merupakan aspek kehidupan yang begitu diambil perhatian masyarakat Cina dan hakikatnya ia adalah fitrah keinsanan yang ada pada semua makhluk ciptaan Tuhan Pencipta Alam ini.
Menurutnya, Islam sebagai agama yang diredhaiNya telah lengkap sempurna dalam memenuhi keperluan tersebut serta menunjukkan panduan kehidupan di atas muka bumi.
"Jika diikuti, pasti terwujudnya hubungan, kasih sayang, keprihatinan, saling membantu, kebertanggungjawaban iaitu keselamatan dan kesejahteraan di dunia juga di akhirat," katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2017.
Tahun Baharu Cina disambut pada hari ini.
Beliau berkata, Islam telah menetapkan asas bahawa semua manusia di atas muka bumi ini sejak penciptaannya dari dahulu, sekarang dan hingga kiamat, merupakan satu keluarga walaupun berbagai bangsa, kaum, keturunan, warna kulit, bahasa dan agama.
"Ia disebut dalam kitab agung untuk manusia akhir zaman iaitu al-Quran: Wahai manusia, Kami jadikan kamu asalnya daripada (seorang ayah dan ibu) (Adam dan Hawa), kemudian dilahirkan berbagai-bagai bangsa dan kaum, supaya kamu saling berkenalan antara satu sama lain.” (Al-Hujurat: 13)," katanya.
Dalam konteks kita di Malaysia, beliau berkata, masing-masing kaum yang ada; Cina, India, Iban, Dayak, Kadazan, Siam, Orang Asal, Melayu dan lain-lain tidak boleh hidup bersendirian.
Menurutnya, mesti hidup saling berhubungan antara satu sama lain kerana realitinya juga, setiap bangsa hidup dengan kecenderungan sosio ekonomi tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.
"Kesatuan dari kepelbagaian inilah yang perlu diperkukuhkan kita yang pelbagai bangsa di negara ini agar dengannya terbina kekuatan di mana ia boleh mengawal kita dari aspek-aspek yang menjejaskan kehidupan.
"Aspek-aspek yang menjejaskan kehidupan seperti penyelewengan, penindasan dan kezaliman. Sebaliknya, diangkat kecintaan, kejujuran, kesetiaan dan segala nilai-nilai sistem hidup yang lebih baik lagi membahagiakan.
"Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat negara ini khususnya kaum Tionghua dan mudah-mudahan terbina kekuatan kesatuan kita untuk membawa Malaysia yang lebih maju dan makmur," katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/ambil-perhatian-orang-cina-bina-kekuatan-bersama-1.619237
Post a Comment