‘Wanita, Pejuang Hak Perlu Sokong RUU 355 Elak Aniaya’
“Saya pelik pejuang yang dikatakan pejuang hak wanita membantah RUU 355. Mereka sepatutnya bersama sebab kita nak naikkan denda itu ke tahap lebih tinggi supaya wanita dapat dibela."
KEPALA BATAS: Golongan wanita dan pejuang hak wanita perlu menyokong usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 kerana ia dapat membela mereka daripada teraniaya, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, cadangan RUU 355 itu antara lain dapat meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dalam menghukum, termasuk menaikkan kadar denda terhadap pesalah.
“Saya pelik pejuang yang dikatakan pejuang hak wanita membantah RUU 355. Mereka sepatutnya bersama sebab kita nak naikkan denda itu ke tahap lebih tinggi supaya wanita dapat dibela.
“Apabila melakukan sesuatu kezaliman terhadap wanita seperti tidak membayar nafkah, Mahkamah Syariah hanya boleh menghukum dengan denda setakat RM5,000. Jadi, ia tak memadai dengan nilaian tanggungjawab terhadap wanita yang dibiarkan sengsara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak membabitkan 1,506 guru Kelas Al-Quran & Fardhu Ain (Kafa) peringkat Pulau Pinang hari ini.Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul RUU 355 ke Dewan Rakyat pada Mei tahun lalu.
Asyraf berkata, sudah tiba masanya untuk mengangkat sedikit kuasa Mahkamah Syariah dengan meningkatkan kadar denda yang setimpal dengan nilaian semasa.
“Selepas 32 tahun akta ini diperkenalkan, kita lihat kuasa menghukum yang ada hari ini, iaitu denda RM5,000 nilaian 1994 dengan sekarang ini berbeza,” katanya.
Beliau menegaskan, RUU 355 tidak ada kaitan dengan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan seperti dakwaan sesetengah pihak kerana Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 adalah akta Persekutuan yang diluluskan di Parlimen dan meliputi bidang kuasa diperuntukkan dalam Parlimen.
“Sebab itulah kalau pun nak buat, pindaan ini akan dibawa ke Parlimen juga dan selagi mana ia berada dalam lingkungan Perlembagaan, selagi itulah akta ini boleh dilaksanakan dan diluluskan,” katanya.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/18/wanita-pejuang-hak-perlu-sokong-ruu-355-elak-aniaya/
Post a Comment