Bajet 2017: Yang Tersurat dan Tersirat
bagi orang awam, mengikuti pembentangan bajet pastinya memeningkan. Angka-angka yang dikemukakan amat besar, ditambah pula dengan penggunaan istilah yang janggal dan mengelirukan
“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggal lah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” (Al-Isra’: 29-30)
Bajet Adalah Pilihan
Sudah menjadi kebiasaan setiap tahun, bajet akan dibentangkan oleh kerajaan untuk disajikan kepada rakyat. Namun bagi orang awam, mengikuti pembentangan bajet pastinya memeningkan. Angka-angka yang dikemukakan amat besar, ditambah pula dengan penggunaan istilah yang janggal dan mengelirukan.
Proses penyediaan bajet adalah sangat rumit, apatah lagi dalam keadaan ekonomi negara dan global yang tidak menentu. Sesebuah bajet dirangka demi mencapai objektif keadilan sosial (social justice) dengan penumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif, mengawal kadar inflasi dan kos sara hidup, serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat yang berkemampuan.
Justeru, ukuran kejayaan bajet yang sebenar adalah memastikan semua pihak iaitu rakyat, peniaga, dan kerajaan, berada di dalam keadaan yang selesa. Sesebuah bajet tidak mencapai matlamat jika hanya pihak kerajaan (dan pemimpin) sahaja yang selesa, sedangkan rakyat masih menanggung beban yang belum selesai, atau mendatangkan masalah baru yang bakal ditanggung seperti, pengangguran, muflis dan kemiskinan, seterusnya menyumbang kepada gejala sosial dan jenayah yang kian meningkat.
Maka setiap peruntukan di dalam belanjawan dirangka mengikut keutamaan dan matlamat sosioekonomi negara. Prinsipnya adalah sama tanpa mengira sama ada anda seorang Perdana Menteri yang mengetuai sebuah kerajaan atau seorang bapa yang mengetuai sebuah keluarga, iaitu “Berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan, bukan mengikut kemahuan”. Inilah petunjuk yang diberikan oleh Allah s.w.t di dalam Surah Al-Isra’ ayat 29 dan 30.
Bajet 2017 – Yang Tersurat
Sebagaimana diumumkan, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM260.8 bilion untuk dibelanjakan pada tahun 2017, peningkatan 3.4% daripada pengubahsuaian Bajet 2016. Daripada jumlah itu, RM214.8 bilion (82%) diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM46 bilion (18%) untuk Perbelanjaan Pembangunan, suatu nisbah 80:20 yang tidak mampan untuk sebuah negara yang berhasrat mahu mencapai status negara maju pada tahun 2020.
Untuk menampung perbelanjaan yang besar ini, kerajaan menjangkakan pungutan hasil berjumlah RM219.7 bilion (naik 3.0% berbanding unjuran hasil 2016), disumbangkan oleh cukai pendapatan individu dan korporat mencecah RM100 bilion, di samping kutipan GST yang lebih tinggi pada tahun 2017, iaitu RM40 bilion berbanding RM38.5 bilion pada tahun 2016.
Natijahnya, kerajaan dijangka akan menanggung defisit fiskal berjumlah RM40.3 bilion atau 3.0% kepada KDNK (2016: RM38.7 bilion, 3.1% KDNK), meneruskan rekod defisit fiskal berturut-turut sejak 1998. Tren defisit ini mengakibatkan jumlah Hutang Kerajaan Persekutuan sehingga Jun 2016 berada pada paras RM655.7 bilion atau 53.2% kepada KDNK. Jika dicampur dengan liabiliti luar jangka yang dianggarkan pada paras 15% kepada KDNK, negara berhadapan dengan risiko hutang kerajaan mencecah 70% kepada KDNK.
Bajet 2017 – Yang Tersirat
Menurut Kerajaan, usaha konsolidasi fiskal akan diteruskan di samping memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan. Walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi semasa termasuklah kejatuhan harga minyak mentah dunia, kerajaan akan memaksimakan sumber sedia ada dan menumpukan perbelanjaan kepada program dan projek yang berimpak tinggi dan mengutamakan rakyat.
Namun, antara perkara yang cuba didiamkan oleh Kerajaan adalah beberapa pemotongan dan pengurangan di dalam Bajet 2017, khususnya pengurangan sebanyak 10.4% bagi peruntukan subsidi dan bantuan sosial, iaitu RM22.4 bilion berbanding RM25 billion pada 2016.
Ketiadaan peruntukan untuk pampasan konsesi tol menunjukkan kemungkinan kenaikan tol pada tahun 2017. Di samping itu, subsidi minyak masak dan keperluan asas lain telah mula dihapuskan, membawa kemungkinan kenaikan harga makanan di pasaran.
Selain itu, bajet untuk universiti awam turut dikurangkan ke paras terendah sejak 2011 iaitu sebanyak RM6.2 bilion (kurang 20%), manakala beberapa agensi kerajaan yang penting turut menyaksikan pengurangan bajet antaranya Jakim, BTN, MKN. Apa yang lebih dikesali, tiada peruntukan khusus untuk projek tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu serta fenomena ombak besar di pantai barat, yang keperluannya sangat mendesak.
Bajet 2017 juga tidak memperlihatkan mekanisma baru diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap integriti, menghentikan ketirisan dan langkah penjimatan. Setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan masih terdedah kepada elemen salah urustadbir yang sering disiasat oleh SPRM dan dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, di samping kecenderungan untuk memohon Bajet Tambahan di setiap awal tahun. Selain itu, pembaziran masih terus berlaku, khususnya dalam aspek ‘perbelanjaan protokol’ yang melibatkan elaun, kos perjalanan luar negara dan penganjuran program para menteri.
Malah, tidak banyak langkah transformasi struktural diketengahkan oleh Perdana Menteri untuk menangani isu-isu kritikal ekonomi negara, khususnya kejatuhan nilai Ringgit, penjimatan operasi kerajaan, hutang kerajaan, kos sara hidup rakyat, rasionalisi konsesi, pengangguran graduan, kenaikan harga rumah, skandal 1MDB dan seumpamanya.
Selain itu, antara yang sering dilaungkan adalah pemberian BR1M yang dinaikkan daripada RM450 hingga RM1,200 yang akan memanfaatkan 7 juta penerima dengan peruntukan RM6.8 bilion. Walaupun Perdana Menteri menyatakan BR1M bukannya dedak mahupun umpan, tetapi dengan jumlah penerima yang terus meningkat dan mencecah lebih 55% daripada jumlah pengundi berdaftar, ia suatu angka ‘deposit undi’ yang sangat signifikan bagi pihak Kerajaan.
Ini ditambah pula dengan penerima baucer buku seramai 3.5 juta murid, kad debit IPTA seramai 1.3 juta pelajar, bantuan rakyat termiskin kepada 69,000 keluarga, bantuan warga emas kepada 120,000 penerima, bantuan OKU kepada 150,000 penerima, projek bekalan air di 42 perkampungan orang asli, kenaikan elaun imam kepada 15,000 penerima, kenaikan elaun guru Kafa kepada 33,000 penerima, bantuan musim tengkujuh kepada 440,000 pekebun dan penoreh getah, elaun sara hidup kepada 57,000 nelayan, projek bekalan air kepada 5,200 keluarga peneroka Felda, serta subsidi padi berjumlah RM1.3 bilion. Kesemuanya ini akan membentuk segolongan masyarakat yang terhutang budi dan berterima kasih kepada kerajaan.
Melihat kepada corak belanjawan ini, pemberian BR1M dalam keadaan GST diperluaskan dan subsidi dikurangkan; adalah terlalu awal untuk menjangkakan pilihan raya umum ke-14 diadakan pada tahun hadapan. Ini dilihat pula dengan peruntukan yang rendah untuk operasi SPR pada tahun 2017 sekitar RM48 juta, lebih rendah berbanding 2016 iaituRM150 juta yang menyaksikan pilihan raya negeri Sarawak, dan jauh lebih rendah berbanding peruntukan untuk PRU13 berjumlah RM461 juta. Namun tiada yang mustahil di Malaysia.
Kesimpulannya, ternyata Bajet 2017 ini menyerupai Bajet 2013 yang penuh dengan ‘janji manis’ dan menyeluruh kepada rakyat di semua peringkat. Justeru seluruh rakyat dan anak muda diseru agar lebih peka terhadap segala perancangan dan tindakan kerajaan di dalam Bajet 2017. Ini kerana bajet sebelum pilihan raya seringkali bersifat manis, namun selepas pilihan raya akan bertukar menjadi pahit. - HARAKAHDAILY 24/10/2016
Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM.
Sumber: http://www.harakahdaily.net.my/index.php/headline/42942-bajet-2017-yang-tersurat-dan-tersirat
Post a Comment