Pengurusan kewangan berhemat kembalikan keyakinan rakyat
PENGUMUMAN Bajet 2017 semakin hampir. Persekitaran ekonomi global pula dilihat kian mencabar, lantaran semakan semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) baru-baru ini.
Paling ketara adalah penurunan di dalam unjuran pertumbuhan negara Amerika Syarikat (AS) sebanyak 0.8 peratus kepada 3.1 peratus bagi 2016, ekoran pelaburan swasta yang dilihat meneruskan tren penguncupan bagi tempoh tiga suku berturut-turut.
Tahun 2017 pula, unjuran pertumbuhan ekonomi terbesar dunia diturunkan 0.3 peratus kepada 2.2 peratus. Di samping itu, pihak kerajaan kekal komited untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.1 peratus daripada nilai KDNK bagi 2016 dan seterusnya mencapai bajet berimbang pada 2020.
Bagi tempoh lapan bulan pertama, defisit fiskal mencecah kepada RM30.4 bilion atau 3.7 peratus daripada nilai KDNK. Sebelum ini, wujud sedikit kebimbangan mengenai sasaran defisit apabila kerajaan mencatat defisit fiskal RM32.8 billion atau 5.6 peratus daripada nilai KDNK pada tempoh separuh tahun pertama 2016.
Namun, peningkatan kutipan hasil yang tinggi pada Ogos dilihat banyak membantu dalam mengurangkan defisit fiskal kepada RM30.4 bilion. Hakikatnya, pelabur masih lagi selesa dengan tahap risiko kredit kerajaan yang mana pegangan asing di dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) berada pada paras 51.3 peratus setakat bulan lalu.
Justeru, pengumuman Bajet 2017 pada kali ini berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global dan pada masa sama, terus mengekalkan proses konsolidasi fiskal. Oleh itu, langkah yang tidak banyak menggunakan perbelanjaan kerajaan secara langsung dan berimpak tinggi dilihat sebagai suatu keutamaan yang perlu diberi perhatian.
Sebagai contoh, isu pemilikan rumah masih menjadi perkara teras dalam merangka dasar ekonomi meskipun pelbagai langkah sudah pun diperkenalkan sebelum ini. Dalam konteks ini, cadangan untuk meningkatkan nisbah Akaun 2 di dalam simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 30 peratus kepada 40 peratus adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan.
Pertambahan wang di dalam Akaun 2 seharusnya boleh digunakan bagi penyediaan deposit pembelian rumah, pengurangan hutang rumah serta pembayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan. Walaupun simpanan ini akan digunakan bagi tujuan pemilikan rumah, namun harga rumah sentiasa meningkat dalam jangkamasa panjang, sekali gus menjamin nilai simpanan KWSP itu berbaloi.
Di samping itu, cadangan pemberian akses Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) yang disediakan oleh pihak Bank Negara juga boleh dilaksanakan. Ini bertujuan memberi peluang kepada bakal peminjam atau peminjam sedia ada untuk memantau tahap keberhutangan di samping memastikan peminjam sentiasa melunaskan hutang mereka, tepat pada masanya.
Perkara ini amat penting bagi memperoleh skor kredit yang tinggi apabila mereka membuat permohonan pinjaman, sekali gus akan meningkatkan peluang mereka untuk memiliki rumah.
Insentif cukai
Insentif cukai juga perlu dipertimbangkan meskipun kerajaan berdepan kekangan kewangan. Ini bagi memastikan transformasi ekonomi akan terus berlaku dengan licin dan mendapat sokongan pihak swasta.
Isu berkaitan penggunaan buruh asing dikatakan masih lagi membelenggu ekonomi kita, lantaran kos buruh secara relatifnya murah. Namun, penyelesaian perlu berlaku secara perlahan agar tidak menyebabkan suasana kejutan kepada sektor ekonomi seperti pertanian, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.
Justeru, pemanjangan tempoh Elaun Pelaburan Semula Khas melebihi tahun taksiran 2018 dilihat mampu untuk menggalakkan peniaga, beralih kepada penggunaan mesin dalam operasi perniagaan mereka. Setakat suku kedua 2016, pelaburan di dalam mesin dan alatan mencatat pertumbuhan 8.1 peratus berbanding penguncupan 7.1 peratus pada tempoh sama sebelumnya.
Tren sebegini adalah sesuatu yang baik dan mampu untuk meningkatkan penggunaan buruh mahir jika insentif bersesuaian terus diberikan. Bagi meningkatkan lagi peranan kewangan Islam, insentif cukai bagi menggalakkan industri wakaf adalah sesuatu penting untuk dilaksanakan.
Peranan wakaf mempunyai potensi besar untuk dijadikan sebagai instrumen dasar ekonomi yang juga boleh menjadi pemangkin kepada proses konsolidasi fiskal. Bayangkan, wakaf ini mampu menyelesaikan masalah kemiskinan bandar melalui campur tangan dalam industri hartanah kediaman di bandar.
Begitulah antara harapan dan realiti yang perlu dicerna dan dihadapi dalam merangka Bajet 2017. Rakyat Malaysia perlu meletakkan pengharapan realistik agar tidak terlalu bergantung kepada insentif kerajaan untuk meningkatkan produktiviti masing-masing.
Kekangan kewangan kerajaan menuntut pengurusan kewangan berhemat supaya tidak mengundang musibah akibat kehilangan keyakinan.
Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi di Bank Islam Malaysia Bhd
Oleh: Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
http://www.bharian.com.my/node/204338
Post a Comment