Sultan Johor Ucap Takziah Kepada Keluarga Mangsa
Bagi pihak rakyat Johor, saya ingin mengutus ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam malapetaka ini
JOHOR BAHRU, 25 Okt (Bernama) - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa dukacita atas kebakaran yang berlaku di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.
Baginda turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
"Saya amat dukacita dengan makluman bahawa enam nyawa terkorban dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah pagi ini. Bagi pihak rakyat Johor, saya ingin mengutus ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam malapetaka ini," titah baginda.
Dalam catatan di laman Facebook, baginda berdoa supaya anggota keluarga dan waris berkenaan diberi kekuatan serta kesabaran untuk mengharungi masa yang mencabar dan menyayat hati ini.
"Saya juga berdoa agar mereka yang tercedera supaya cepat pulih," titah baginda yang berterima kasih kepada kakitangan hospital, anggota bomba dan polis serta agensi lain yang bertungkus-lumus memadamkan api serta menyelamat dan memindahkan pesakit.
Post a Comment