Pulang selepas setahun hilang di Madinah
Hilang di Madinah, Arab Saudi pada 19 Dis 2015 ketika mengerjakan umrah bersama bapa dan ibunya.
KUALA LUMPUR: "Saya tidak pasti apa yang berlaku kepada dia selama setahun lebih menghilang di Madinah.
"Dia tidak banyak berbicara ketika saya mengambil dia di KLIA," kata Ibrahim Abdul Rahman ketika bercakap mengenai kepulangan anaknya Nor Azimah, 32, ke tanah air hari ini.
Ibrahim berkata buat masa ini Azimah memerlukan masa untuk bertenang sebelum menceritakan kejadian sebenar selama menghilang di Madinah.
"Saya mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana Azimah selamat pulang ke tanah air," kata Ibrahim, 55.
Nor Azimah, dilaporkan hilang di Madinah, Arab Saudi pada 19 Dis 2015 ketika mengerjakan umrah bersama bapa dan ibunya.
Ibrahim berkata dia hanya mengetahui kepulangan dan ketibaan anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui WhatApps rakannya pada 3 petang tadi.
"Sejurus selepas itu, saya terus ke KLIA mengambil Azimah. Dia berada dalam keadaan sihat tetapi stres," kata Ibrahim ketika dihubungi Bernama di rumahnya di Shah Alam.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Konsul Malaysia di Jeddah dan pihak keselamatan Arab Saudi kerana berusaha mencari anaknya.
"Terima kasih kepada semua yang pihak yang terlibat menguruskan perjalanan anak saya dari Madinah ke Malaysia," katanya.
Nor Azimah tiba di KLIA pada kira-kira 12 tengah hari tadi menaiki pesawat MAS dari Jeddah.
Kepulangan Nor Azimah disahkan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Mohamad Ali Selamat yang berkata Nor Azimah ditemui pada 13 Disember. Pihak berkuasa Arab Saudi kemudian menghubungi Pejabat Konsul Jeneral. – Bernama
Azimah hubungi rakan tanya cara kahwini warga Arab sebelum hilang
KUALA LUMPUR: Ibu tunggal Nor Azimah Ibrahim yang hilang di Madinah, pernah menghubungi kenalannya di Tanah Suci untuk mengetahui proses perkahwinan dengan warga Arab Saudi atau rakyat Malaysia yang menetap di sana.
Abdul Aziz Abas, yang kini menetap di Madinah mengikuti pengajiandi peringkat ijazah sarjana di Universiti Islam Madinah, berkata Nor Azimah menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp bertanyakan perkara berkenaan, beberapa hari sebelum dia dilaporkan hilang.
"Bila dia yang bercakap begitu, saya menjadi takut...sebab, nanti susah pula saya nak kena uruskan kahwin...apa semua. Saya sibuk dengan belajar, peperiksaan, buat tesis," katanya ketika dihubungi Bernama TV di sini, hari ini.
Abdul Aziz berkata Nor Azimah, 31, adalah kenalannya semasa menuntut di sebuah kolej di Malaysia.
Abdul Aziz berkatabeliau kemudian meminta Nor Azimah menghubungi isterinya untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung proses perkahwinan itu.
"Saya kata pada Azimah untuk urusan lanjut hubungi isteri saya," katanya sambil menambah Nor Azimah kemudian tidak lagi menghubungi beliau atau isterinya selepas itu.
Abdul Aziz berkata dia juga telah dipanggil memberi keterangan oleh pihak berkuasa Arab Saudi susulan kehilangan Nor Azimah.
Nor Azimah yang mempunyai seorang anak perempuan dan berasal dari Seksyen 30, Shah Alam, Selangor, berlepas ke Tanah Suci bersama ibu bapanya untuk mengerjakan umrah pada 11 Dis lepas.
Ibu mangsa, Zamhani Zakaria, 52, sebelum ini berkata kali terakhir dia bersama anaknya itu ialah pada 19 Dis lepas.
Zamhani yang tiba di tanah air pada 23 Dis lepas, berkata mereka sekeluarga sepatutnya pulang ke Malaysia pada 22 Dis lepas.
Astro Awani Januari 03, 2016
Post a Comment