Keluarga Pemandu Bas Kesal Majikan Belum Hulur Bantuan
ramai orang salahkan pemandu sedangkan kami tahu dia seorang yang cekap ketika memandu
GEORGE TOWN: Keluarga pemandu bas ekspres Zakeer Zubir,32, yang terkorban dalam kemalangan di Pagoh, Johor Sabtu lepas kesal tiada wakil majikannya tampil bertanya khabar atau membantu mereka.
Abang mangsa, Zameer Zubir, 35, berkata keluarganya berhadapan dugaan yang berat dan memerlukan sokongan serta bantuan pelbagai pihak terutama daripada majikan arwah adiknya.
"Sudah tiga hari kejadian berlaku, kelibat majikan atau wakil langsung tiada. Hospital pula mahu kami segera ke Johor bagi menandatangani beberapa dokumen untuk melakukan pembedahan ke atas Miya (isteri Zakeer, Miyarseh).
"Miya, seorang warga Indonesia, jadi kos rawatan lebih mahal. Kami terkilan masih belum dapat ke Johor kerana perlu menjaga dua lagi anak arwah yang berusia empat dan dua tahun serta emak yang masih trauma," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah mereka di sini.
Allahyarham Zakeer adalah pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang mengorbankan 14 nyawa termasuk anak bongsunya, Nur Natasha Zahara, 1.
Miyarseh yang turut berada dalam bas sama, bagaimanapun terselamat dan masih menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah kerana cedera parah.
Zameer berkata, untuk ke Johor juga mereka memerlukan belanja yang besar kerana tiada saudara mara di situ dan tiada tempat untuk tumpang bermalam.
Dalam pada itu, Zameer turut mempersoalkan mengapa hanya seorang pemandu sahaja sahaja yang bertugas sedangkan jarak perjalanan sangat jauh dari Pulau Pinang hingga ke Johor dan pulang semula ke Kuala Lumpur.
"Kami tidak menolak kemungkinan arwah letih kerana memandu terlalu lama. Tidak boleh salahkan dia dan kami sekeluarga sedih sebab ramai orang salahkan pemandu sedangkan kami tahu dia seorang yang cekap ketika memandu," katanya.
Berita penuh: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/12/26/keluarga-kesal-belum-terima-bantuan/
Post a Comment