PRU-14: Kit Siang mungkin jadi TPM, Menteri Kewangan
Peluang Anwar menjadi Perdana Menteri adalah tipis manakala skandal yang menghantui Muhyiddin akan menyukarkan laluannya untuk kembali memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Lim Kit Siang dijangka menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekiranya pakatan harapan diketuai DAP membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin berkata, Penasihat DAP itu dipercayai telah meminta restu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Konvensyen Nasional DAP baru-baru ini.
Menurut beliau, permintaan Kit Siang itu adalah balasan terhadap sokongannya kepada hasrat Dr. Mahathir untuk menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Perdana Menteri.
“Sesiapa pun yang menjadi Perdana Menteri tidak penting kerana Kit Siang tetap akan menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Sebagai pemimpin nombor dua serta ditambah dengan jawatan Menteri Kewangan, beliau yang sebenarnya memegang kuasa di negara ini dan bukannya Perdana Menteri,” katanya melalui portal Malaysia Today, http://www.malaysia-today.net semalam.
Dalam masa sama, Raja Petra memberitahu, bagi menjaga hati PKR dan PAN, Kit Siang mencadangkan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Perdana Menteri sementara.
Beliau menambah, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seterusnya akan mengambil alih jawatan tersebut daripada isterinya setelah dibebaskan dari penjara.
Raja Petra berkata, Kit Siang turut mencadangkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik semula sebagai Timbalan Perdana Menteri semata-mata untuk mengambil hati Dr. Mahathir.
“Kit Siang menyangka beliau mengambil langkah yang bijak dengan mencadangkan sesuatu yang tidak akan berlaku,” jelasnya.
Menurut beliau, Kit Siang tahu peluang Anwar menjadi Perdana Menteri adalah tipis manakala skandal yang menghantui Muhyiddin akan menyukarkan laluannya untuk kembali memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Raja Petra memberitahu, khabar angin sedang disebarkan dalam kalangan kaum Cina bahawa negara ini akan mempunyai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berketurunan Cina sekiranya mereka mengundi pakatan harapan yang diketuai DAP.
“DAP berharap strategi ini membolehkan mereka memenangi 45 kerusi Parlimen sekali gus menjadikannya parti terbesar dalam blok pembangkang,” katanya.
https://www.utusan.com.my/berita/politik/kit-siang-mungkin-jadi-tpm-menteri-kewangan-1.424850
Post a Comment