Langkah 2016 Tun M Tak Cukup Berbisa
Dr M masih aktif turun naik pentas politik untuk memperjuangkan apa yang difikirkannya betul, tapi hakikatnya ia hanya langkah politik yang biasa dan tidak berbisa.
PADA usia 91 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad masih aktif turun naik pentas politik untuk memperjuangkan apa yang difikirkannya betul.
"Betul" daripada kaca mata veteran politik itu mungkin berbeza daripada sudut pandangan orang lain.
Malah tafsiran "betul" juga boleh berubah-rubah mengikut situasi, kepentingan dan konteks tertentu.
Tahun 2016 yang bakal melabuhkan tirai beberapa hari lagi turut merekodkan beberapa pendirian bekas perdana menteri itu yang berubah berdasarkan perkembangan politik semasa.
Bermula 29 Februari tahun ini, Dr Mahathir memulakan langkah menyerang kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dari luar Umno selepas mengumumkan pendirian untuk sekali lagi meninggalkan parti yang pernah dipimpinnya itu.
Sejak itu beliau dilihat konsisten memperjuangkan pendiriannya kerana beranggapan Umno ketika dibawah pimpinan Najib telah terpesong daripada asas perjuangannya.
Menyedari realiti bahawa usahanya hanya sia-sia jika bergerak secara bersendirian, Dr Mahathir memulakan inisiatif untuk memberi tekanan kepada Najib menerusi Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada 4 Mac.
Deklarasi Rakyat juga menjadi platform pertama Dr Mahathir bergandingan secara formal dengan pimpinan pembangkang termasuk musuh tradisinya, Lim Kit Siang.
Bagi Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, beliau melihat langkah politik Dr Mahathir sepanjang tahun ini masih belum cukup untuk meruntuhkan tembok penguasaan Umno.
"Siri tindakan Dr Mahathir belum cukup untuk meruntuhkan Umno secara keseluruhannya. Mungkin hanya boleh merosakkan, tapi bukan untuk meruntuhkan.
"Malah tindakan Dr Mahathir keluar daripada Umno juga tidak memberi kesan kepada parti itu buat masa ini," katanya kepada mStar Online.
Mengulas mengenai sikap Dr Mahathir yang sanggup berbaik-baik dengan DAP, Wan Saiful berkata, perkara berkenaan bukan sesuatu yang mengejutkan terutama dalam politik.
"Budaya politik orang Malaysia mungkin akan anggap tindakan Dr Mahathir berbaik-baik dengan Kit Siang sebagai sesuatu yang pelik dan bakal mencetuskan fenomena luar biasa.
"Tapi hakikatnya ia hanya langkah politik yang biasa dan tidak berbisa," katanya.
Menurut Wan Saiful lagi, Barisan Nasional (BN) dan Umno boleh mengakhiri siri cabaran politik yang dihadapi mereka sepanjang tahun ini dengan nafas lega.
Katanya, parti pemerintah itu bernasib baik kerana pada tahap ini pembangkang masih belum menyelesaikan beberapa isu utama sebelum boleh meruntuhkan sokongan rakyat kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.
"Pembangkang belum cukup kukuh, kesefahaman antara mereka masih diragui. Sehingga kini parti pemerintah masih belum hilang sokongan rakyat dan akan terus berkuasa sehingga selepas PRU nanti jika pembangkang masih di takuk yang sama," katanya.
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/12/28/langkah-tun-m-tak-cukup-bisa/
Post a Comment