Waspada tawaran kolej tidak berdaftar - MQA
Calon pelajar boleh membuat rujukan melalui laman sesawang mqa.gov.my bagi memastikan bidang yang ditawarkan itu berdaftar dengan MQA.
BESUT: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diingatkan berwaspada supaya tidak tertipu dengan tawaran kolej tidak berdaftar dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Profesor Dr Rujhan Mustafa berkata pihaknya telah mengesan beberapa sedemikian dengan pihak kolej meminta sejumlah wang.
“Sekiranya mendapat surat tawaran itu, calon pelajar boleh membuat rujukan melalui laman sesawang mqa.gov.my bagi memastikan bidang yang ditawarkan itu berdaftar dengan MQA.
“Buat masa ini, MQA telah memperakukan 11,000 bidang pengajian dengan institusi pengajian tinggi yang didaftarkan di seluruh negara bagi memudahkan pemohon membuat rujukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan Rumah Komuniti oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh di Kampung Lak Lok di sini, hari ini.
Rujhan berkata ada juga kolej yang mengeluarkan surat tawaran dengan pengesahan palsu kononnya program yang ditawarkannya mendapat kerjasama MQA. — BERNAMA
Post a Comment