Header Ads

MRT Sungai Buloh - Kajang Mula Beroperasi

Laluan fasa pertama ini melibatkan 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan dengan jarak sejauh 21 kilometer itu mula beroperasi pada 6 pagi tadi. Selama sebulan perkhidmatan MRT dan bas perantara percuma disediakan.


KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang menjadi tambahan baharu kepada mod pengangkutan awam di negara ini memulakan operasinya Jumaat.

Laluan fasa pertama ini melibatkan 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan dengan jarak sejauh 21 kilometer itu mula beroperasi pada 6 pukul pagi Jumaat.

Ia meliputi stesen Sungai Buloh; Kampung Selamat; Kwasa Damansara; Kwasa Sentral; Kota Damansara; Surian; Mutiara Damansara; Bandar Utama; Taman Tun Dr Ismail; Phileo Damansara; Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancarkan perkhidmatan ini pada Khamis berkata projek ini dapat dilaksanakan dengan kos kira-kira RM21 bilion berbanding kos sasaran RM23 bilion pada peringkat awalnya.

Pada majlis pelancaran yang bersejarah itu, perdana menteri turut mengumumkan perkhidmatan MRT dan bas perantara percuma selama sebulan mulai 16 Januari 2017 sebagai hadiah kepada rakyat bersempena sambutan Tahun Baharu.

"Ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baharu, moden dan efisien ini," katanya.

Menyifatkan projek MRT itu begitu dekat dengan hati beliau, Najib berkata ia mempunyai segala ciri yang menjadi teras kepada pentadbiran beliau iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Katanya, sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 2009, beliau mendengar keluh kesah rakyat dalam menangani permasalahan kesesakan lalu lintas khususnya di Lembah Klang.

"Saya tidak mahu slogan ini menjadi retorik politik tanpa ada pengisian...sebab itu, kerajaan ingin menjadikan pengangkutan awam sebagai prioriti tertinggi," katanya.

Najib berkata projek MRT itu juga memberi manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada kerja pembinaan, penjanaan peluang pekerjaan, peningkatan nilai hartanah, produktiviti dan penjimatan masa rakyat.

Katanya, projek berkenaan juga berjaya menganugerahkan 50 peratus daripada jumlah nilai kontrak kepada syarikat Bumiputera, melebihi sasaran 43 peratus yang ditetapkan di peringkat awal.

Dalam pada itu, Najib yakin Rapid Rail Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad sebagai pengendali perkhidmatan MRT sudah cukup bersedia memainkan peranan mereka berdasarkan pengalaman luas dalam mengendalikan perkhidmatan LRT, Monorel dan bas-bas di Lembah Klang dan lokasi lain di negara ini.

Fasa kedua sejauh 30 kilometer membabitkan 19 stesen dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi sepenuhnya bermula 31 Julai 2017.


http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/12/16/mrt-sungai-buloh-kajang-operasi/

Foto - Bernama

No comments