Caj wad, rawatan naik 50 peratus
Kementerian Kesihatan dijangka menaikkan caj wad dan rawatan di seluruh hospital kerajaan di negara ini sehingga 50 peratus mulai Disember ini atau selewat-lewatnya awal Januari 2017
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan dijangka menaikkan caj wad dan rawatan di seluruh hospital kerajaan di negara ini sehingga 50 peratus mulai Disember ini.
Kenaikan tersebut didakwa melibatkan pesakit-pesakit yang dirawat di kelas 1 dan kelas 2. Kenaikan itu juga dikatakan melibatkan semua jenis rawatan untuk warganegara seperti bayaran wad am dan wad bersalin, rawatan pesakit ditahan dalam wad, fisioterapi, radioterapi dan nuklear, nefrologi serta psikiatri.
Namun begitu bagi pesakit warganegara yang memilih untuk dirawat di kelas 3, caj wad dan rawatan kekal dengan kadar lama.
Difahamkan, taklimat berhubung kenaikan caj perubatan di hospital-hospital kerajaan itu sedang berlangsung secara berperingkat melibatkan semua zon di seluruh negara sejak Oktober lalu.
Selepas itu, berkuat kuasa 1 Disember ini atau selewat-lewatnya awal Januari 2017, semua caj rawatan di hospital kerajaan akan dinaikkan 50 peratus.
Dianggarkan sebanyak 75 peratus daripada 31 juta penduduk negara ini memilih hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan berbanding hanya 25 peratus yang memilih hospital swasta.
Ketika ini Malaysia mempunyai 143 buah hospital kerajaan dengan 41,389 buah katil manakala 183 buah hospital swasta dengan 12,000 katil.
Satu sumber di Kementerian Kesihatan memberitahu, antara alasan utama kenaikan tersebut disebabkan caj rawatan di hospital kerajaan didakwa tidak pernah dinaikkan sejak tahun 1982.
Selain itu, kenaikan tersebut juga didakwa dibuat ekoran caj rawatan di hospital-hospital kerajaan masih rendah jika dibanding dengan negara-negara ASEAN lain.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4PzMKIwh0
Hakcipta terpelihara
Post a Comment