RUU 355: Tak salah ada percaturan politik jika untuk kebaikan Islam
Tak kisahlah kalau PAS nak berpakat dengan UMNO ke, berpakat dengan DAP sekalipun, asalkan ianya untuk memartabatkan syariah Islam di negara ini, kita alu-alukan, kita terbuka. Lagi pula, apa guna politik kalau bukan untuk memartabatkan Islam?
BANGI, 29 Safar 1438H, Selasa – Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, jika benar berlaku percaturan politik di sebalik Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) demi kebaikan orang Islam, maka ianya adalah sesuatu perkara yang biasa.
"Tidak menjadi masalah jika ia membentuk satu pakatan dengan parti politik lain, asalkan memberi kebaikan kepada umat Islam.
"Tak kisahlah kalau PAS nak berpakat dengan UMNO ke, nak berpakat dengan PAN ke, berpakat dengan DAP sekalipun, asalkan ianya untuk memartabatkan syariah Islam di negara ini, kita alu-alukan, kita terbuka.
"Lagi pula, apa guna politik kalau bukan untuk memartabatkan Islam?," soalnya dalam Forum Sudut Pandang: Permuafakatan RUU 355 yang berlangsung di Bangi, malam tadi.
Sebaliknya, Haji Aminuddin berkata, beliau berasa hairan apabila ada pihak yang menganggap perkara ini sesuatu yang baru dan kemudiannya melakukan penentangan yang luar biasa.
"Sewaktu tahun 1984, pindaan sebegini pernah dicadangkan dan pada masa itu tiada halangan pun. Ada ahli Parlimen daripada DAP, MCA juga masa itu, namun ia lulus dengan senang dan mudah.
"Tetapi kini, selepas 30 tahun sudah berlalu, bermacam tentangan yang diterima. Ia seolah menunjukan bahawa ada strategi tersembunyi daripada pihak yang menentang. Sedangkan perkara ini bukanlah baru.
"30 tahun kita tak buat apa-apa peningkatan, adakah kita nak tunggu 30 tahun lagi?," soalnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, apa yang menjadi masalah di kalangan rakyat Malaysia sekarang ini adalah apabila mereka melihat pelaksanaan ini dalam kerangka politik semata.
Walhal, katanya, banyak lagi kerangka lain yang perlu dilihat misalnya seperti dari sudut kesan ekonomi atau sosial.
"Hukuman sedia ada terlalu ringan, yang mana hanya boleh menetapkan hukuman maksimum enam kali sebatan, denda RM5,000 dan tiga tahun penjara bagi empat kesalahan yang dilakukan orang Islam di negara ini. Empat kesalahan yang diperuntukkan di bawah bidang kuasa mahkamah itu adalah zina, minum arak, qazaf (tuduhan zina tanpa membawa empat saksi) dan murtad.
"Orang pandang ringan hukuman yang diberikan. Tak takut langsung. Setakat RM5,000. Tu pun maksimum, mungkin ada yang kena bayar RM1,000 sahaja. Kumpul-kumpul sekejap sahaja dengan kawan-kawan dia, dah dapat jumlah yang perlu dibayar. Hukuman tersebut langsung tidak menakutkan sesiapa lagi di zaman ini," katanya.
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=32646
Post a Comment