Presiden puji ahli, penyokong PAS patuh arahan
Proses demokrasi sebenar perlu dilalui dengan adab yang baik dan bukannya melalui tindakan seumpama itu dalam keadaan keamanan menjadi hak semua. Kita melihat di sana tidak ada satu kawalan yang baik untuk mematuhi ketenteraman awam.
KUALA TERENGGANU: PAS mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kasih kepada ahli dan penyokong kerana mematuhi arahan tidak menyertai perhimpunan BERSIH 5 di ibu negara, Sabtu lalu.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini selaras dengan keputusan muktamad parti seperti diumumkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan pada 2 Oktober lalu.
Tegasnya, proses demokrasi sebenar perlu dilalui dengan adab yang baik dan bukannya melalui tindakan seumpama itu dalam keadaan keamanan menjadi hak semua.
"Alhamdulillah ahli dan penyokong patuh pada arahan, kerana kita melihat di sana tidak ada satu kawalan yang baik untuk mematuhi ketenteraman awam.
"Kita tidak mahu berlaku pertembungan yang merugikan rakyat. Ini sangat penting dan perlu diawasi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kali Ke-13 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk mengambil tindakan kepada mana-mana ahli yang dikenal pasti menyertai perhimpunan tersebut.
"Tindakan kepada yang hadir, terpulang kepada jawatankuasa disiplin parti. Kita tidak boleh bertindak sekiranya tiada aduan," katanya.
Pas sebelum ini turut tidak menyertai BERSIH 4.0 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos tahun lalu lantas mengakibatkan demonstrasi menjadi hambar dengan kemerosotan ketara penyertaan kalangan Melayu.
Post a Comment