SUSPEK TEMBAK MH17 DIJANGKA DIKETAHUI 2018
Seramai 100 suspek telah dikenal pasti menembak jatuh pesawat berkenaan dua tahun lalu.“Kita akan menggunakan Mahkamah Antarabangsa di Belanda untuk mendakwa mereka yang terlibat. Perkara ini akan mengambil masa dan mereka ini akan dipanggil bagi memberikan keterangan,”
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, seramai 100 suspek telah dikenal pasti menembak jatuh pesawat berkenaan dua tahun lalu.
Beliau berkata, penyiasatan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) terhadap pesawat berkenaan akan diteruskan sehingga hujung tahun depan.
“Kita akan menggunakan Mahkamah Antarabangsa di Belanda untuk mendakwa mereka yang terlibat. Perkara ini akan mengambil masa dan mereka ini akan dipanggil bagi memberikan keterangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa untuk kementerian itu dalam Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, menjawab isu pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Tiong Lai berkata, laporan teknikal lengkap berkenaan pesawat itu dijangka akan dikeluarkan pada awal tahun depan selepas proses pencarian seluas 120,000 kilometer persegi selesai dijalankan.
Beliau berkata, pasukan pencarian yang melibatkan Australia, China dan Malaysia akan menangguhkan sementara waktu pencarian pesawat itu jika masih gagal menjumpai pesawat berkenaan.
“Kita tidak akan berhenti (pencarian), sebaliknya akan menangguhkan seketika proses pencarian pesawat itu sehingga mendapat petunjuk-petunjuk baharu pesawat tersebut,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE
Post a Comment