Header Ads

#PAU2016: Dasawarsa Politik Mencabar


Saya berjanji akan terus berdiri di belakang tuan nakhoda untuk memudik pelayaran bahtera ini menerjah samudera ke sebuah pulau kemenangan. Inilah janji Zahid Hamidi.



“DASAWARSA POLITIK MENCABAR”
oleh
YAB DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
NAIB PRESIDEN UMNO
(menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden)
PADA
PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2016





1. Segala puji hanya milik ALLAH SWT. Tuhan seluruh alam. Selawat dan salam kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat, para tabiin dan ulama, serta kita semua. Mudah-mudahan pada malam ini kita akan dilimpahi dan diliputi ihsan sehingga ke akhir hayat.

2. “Kehidupan di alam ini ialah ladang akhirat; agama tidak dimanfaatkan melainkan dengan kehidupan dunia; kuasa dan agama (al-din wa al-dawlah) tidak boleh dipisahkan. Agama adalah pohon asas dan kuasa ialah payung pelindung; apa-apa yang tidak mempunyai asas akan musnah; apa-apa yang tidak mempunyai pelindung akan lenyap. Hakmilik dan kawalan tidak tercapai kecuali melalui kuasa “.




3. Bait-bait petikan pemikiran Imam Al-Ghazali yang saya ungkapkan sebentar tadi menyatakan dengan penuh kesedaran betapa kehidupan di muka bumi ini, bukanlah sekadar untuk mengisi batas waktu, ruang, dan peluang yang dianugerahi Allah SWT kepada kita. Ianya menjangkau lebih jauh kepada soal amanah dan taqlif sebagai seorang insan pilihanNya.




4. Malam ini merupakan suatu malam yang sangat bermakna buat saya. Bermakna kerana saya dapat berdiri dengan penuh keinsafan dalam dewan yang keramat ini di hadapan semua perwakilan UMNO dari sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang datang dari segenap pelusuk tanah air.







5. Namun, sebelum saya terus menuturkan bait-bait bicara, ingin saya rakamkan jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dan seluruh jajaran Majlis Tertinggi UMNO atas kepercayaan memberikan saya amanah dan tanggungjawab untuk menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO hingga membolehkan saya dapat bersama saudara-saudari sekalian dalam majlis yang penuh tradisi ini.




6. Sesungguhnya, saya tidak pernah menganggap ini sebagai ‘ghanimah’ untuk kepentingan diri. Tetapi ini adalah suatu ujian untuk menilai kesetiaan saya kepada tuan nakhoda bahtera UMNO ini. Saya berjanji akan terus berdiri di belakang tuan nakhoda untuk memudik pelayaran bahtera ini menerjah samudera ke sebuah pulau kemenangan. Inilah janji Zahid Hamidi.




7. Janji saya bukan janji Niccolo Machiavelli yang berbeza antara lafaz di bibir dengan niat sebenar di hati; tetapi janji saya mengikuti sepenuhnya janji penjunjung ajaran para Rasul dan Anbia’.




PENDEWASAAN MELALUI SEJARAH



Perwakilan sekalian,



Malam ini, kelainan saya kerana pemakaian baju Melayu rasmi Pemuda UMNO zaman saya dahulu. Ini bukanlah bermakna saya membuang tabiat atau jauh sekali kehabisan baju, tetapi saya sengaja memakainya sesudah lebih 20 tahun saya tidak berpakaian seumpama ini. Saya masih ingat kali terakhir adalah pada tahun 1998. Alhamdulillah, Kak Midah isteri saya yang saya kasihi, masih mampu tersenyum tatkala saya mengenakan pakaian ini sebentar tadi maknanya saya masih segak seperti dahulu !



8. Namun, apa yang penting, saya pernah berdiri di sini memakai baju Melayu putih bersama dengan pemimpin muda yang berjiwa besar. Saya juga tidak boleh lupa, betapa mereka berkumpul untuk mendengar amanat saya sebagai Ketua Pemuda UMNO ketika itu. Saya juga tidak akan lupa bagaimana mereka telah memberikan tepukan yang gemuruh menggamatkan dewan ini. Itulah semangat jiwa kepemudaan.




9. Pengalaman dalam UMNO membolehkan saya melihat bagaimana sumbangan UMNO kepada bangsa Melayu dan rakyat negara ini seluruhnya. Perjalanan politik negara ini menyedarkan saya bahawa Sunnatullah Bumi bertuah ini didiami oleh pelbagai kaum,bangsa, agama,budaya dan adat resam.




10. Sedikit pengalaman saya yang merangkak dari cuma sebagai ahli biasa cawangan, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan yang dilantik, Ketua Pemuda Cawangan, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi dan Naib Presiden. Sesungguhnya, saya tidak pernah dipayung terjunkan. Pengalaman kecil ini benar-benar menginsafkan saya.




11. Kita harus insaf dan sedar dengan liku-liku perjalanan panjang sebagai orang politik. Dalam mengimbau kejayaan yang dibawa oleh UMNO kepada negara ini, sesungguhnya kejayaan tidak datang bergolek. Tiada siapa pun yang boleh menafikan jasa UMNO kepada kebahagiaan rakyat negara ini sejak merdeka lagi. Malah, dengan kepimpinan UMNO lah, negara ini menjadi satu-satunya negara Islam moden yang paling lama dan tidak pernah terputus sistem demokrasinya!!. Hampir 60 tahun.




12. Namun begitu, kita tidak boleh lupa dan alpa. Jiwa kita perlu kental serta sebati dengan parti yang bersejarah dan berjasa ini. Kita perlu sentiasa menghargai sumbangan UMNO dalam memperjuangkan nasib orang Melayu. Kita tidak perlu bernostalgia, tetapi ianya merupakan suatu realiti.




13. Selagi darah merah UMNO sentiasa mengalir dalam tubuh kita, dicincang sekalipun kita tetap berdarah UMNO. Yang penting, kita setia kepada parti dan tidak akan mengkhianati UMNO serta perjuangannya yang sudah mendarah-daging dalam diri kita hingga menjadi institusi politik penting di negara ini.







14. Pemimpin UMNO sejak dahulu sehingga sekarang telah membawa negara ke arah yang lebih gemilang dan dihormati di seluruh dunia. Kesungguhan YAB Dato’ Sri Najib untuk membawa negara ke mercu kecemerlangan dengan pelbagai transformasi untuk kesejahteraan rakyat perlu digalas, disokong dan didokong oleh semua.




15. Seperti Sayyidina Ali karramallahu wajhah yang taat setia menyokong ketiga-tiga khalifah yang memimpin umat Islam terdahulu: Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab dan Sayyidina Uthman Affan radiallahum. Marilah kita bersama-sama berdiri teguh dan memberi sokongan sepenuh hati dalam membantu Presiden untuk menentukan kesinambungan kepimpinan bagi mencemerlangkan parti, kerajaan dan negara.










CABARAN 1: MENDEPANI POLITIK NEGARA



Perwakilan sekalian,



16. Sesungguhnya kejayaan negara bukan sahaja dicemburui oleh pihak luar tetapi juga dari dalam. Mereka sedar hanya Malaysia satu-satunya negara di dunia yang maju, aman dan sejahtera yang dipimpin oleh kepimpinanan Islam yang bergandingan dengan bangsa yang terdiri dari pelbagai agama. Semua agama utama dunia terdapat di negara ini: Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain.




17. Keadaan ini ternyata telah mencetuskan rasa kecemburuan sehingga mereka merencanakan pelbagai asakan terhadap pemimpin parti dan kerajaan. Mereka tidak akan puas selagi tidak melihat negara ini menjadi huru-hara, tersungkur dan rakyat menderita.




18. Mereka akan mencipta pelbagai jalan cerita untuk menghancurkan pemimpin UMNO. Mereka juga mencipta ‘story board’ dalam membentuk ‘perception terrorism’ sepanjang masa bagi menghilangkan kepercayaan terhadap pemimpin dan banyak institusi yang menjadi tunjang kepada kemakmuran negara ini. Pasti saudara-saudari pernah mendengar tentang Adolf Hitler pemimpin Nazi Jerman yang telah membunuh jutaan orang-orang Yahudi, ketika Perang Dunia Kedua. Sebenarnya, kejayaan beliau terhasil daripada strategi propaganda yang cukup berkesan yang diasaskan kepada pembohongan.




19. Beliau dibantu oleh menteri propagandanya bernama Joseph Goebbels. Hitler pernah menulis bahawa: “If you are going to tell a lie, tell a big one and if you tell it often enough, people will begin to believe it.” (Jika kamu mahu berbohong, buatlah pembohongan yang betul-betul besar, dan jika kamu kerap mengulanginya, orang akan mempercayainya).




20. Melalui propaganda radio dan filem yang kreatif, mereka berjaya mengawal pemikiran lebih daripada 80 juta orang. Namun, akhirnya Allah SWT telah memperkuatkan musuh-musuh mereka maka kekuasaan serta pengaruhnya hancur lebur. Hitler akhirnya membunuh diri. Goebbels dan isterinya juga membunuh diri bersama-sama enam anak-anak mereka yang diracun olehnya sendiri dengan racun cyanide.




21. Plot pembangkang di negara ini juga seakan hampir sama. Mereka menggula-gulakan rakyat dengan propaganda mereka bahawa negara ini akan bankrap serta pelbagai lagi dakwaan dan cerita-cerita palsu yang digembar-gemburkan.




22. Sesungguhnya, kita seharusnya merasa risau dan gayat apabila melihat perubahan seperti ini yang berlaku kepada masyarakat kita. Perubahan yang bukan sahaja melibatkan perubahan strata sosial malah lebih membimbangkan kita ialah perubahan dari segi pola dan kecenderungan pemikiran rakyat yang menjurus kepada timbulnya budaya politik kebencian (hatred politics).







CABARAN 2: ANCAMAN LIBERALISME DAN PENTAFSIRAN DEMOKRASI



Sidang perwakilan sekalian,



23. Dewasa ini, fahaman liberal semakin mencengkam dan kian menghantui generasi pasca modenisme. Aliran pemikiran mereka sedikit demi sedikit menjadi begitu songsang dan mengelirukan. Pemikiran mereka tampak jelas miskin dan sungguh bercelaru. Menurut sarjana Islam tersohor, Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, situasi ini sebagai sindrom kefasadan pemikiran.




24. Kita yang berada dalam UMNO perlu membantu rakyat untuk mentafsir semula erti demokrasi. Saya pernah melontarkan persoalan ini sewaktu dalam majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian-bahagian yang lepas dan malam ini saya akan laungkannya sekali lagi bahawa UMNO perlu membantu rakyat mentafsir semula erti demokrasi.




25. Demokrasi politik seharusnya diterjemahkan melalui proses pilihan raya. Parti mana yang menang maka parti itulah yang sah memerintah negara, tetapi sekarang tidak lagi. Demokrasi kini dipadankan dengan demonstrasi. Bagi mereka, berdemonstrasi dianggap sebagai parameter kepada demokrasi. Sesiapa yang menentang amalan demonstrasi, maka mereka dianggap sebagai tidak demokratik.




26. Sewaktu di kampus dahulu, saya turut memimpin demonstrasi. Ketika itu pemimpin mahasiswa berdemonstrasi untuk menjuarai isu-isu rakyat dan membalingkan harapan agar kerajaan mendepani permasalahan tersebut untuk diselesaikan. Kami tiada langsung berniat untuk menggulingkan kuasa pemerintah. Kini demonstrasi bertujuan sebaliknya.




27. Justeru, tindakan demonstrasi sekarang lebih bersifat meruntuh, menghancur dan konfrontasional. Lebih parah lagi, demokrasi juga ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak termasuk dalam penerimaan bantuan hatta daripada organisasi asing sekali pun.




28. Saya ingin berpesan, wahai mereka yang di sebelah sana, beringat-ingatlah, berpada-padalah, selagi anak Bagan Datok ini diberikan mandat menakhodai Kementerian Dalam Negeri, saya tidak akan sesekali lalai untuk meneroponginya, saya tidak akan jemu-jemu untuk mencari ubat penyembuhnya, dengan berlaku adil, demi sebuah negara yang sejahtera.




29. Dan ingatlah, semua negara yang diruntuhkan kepimpinan dan kedaulatannya melalui gerakan massa jalanan seperti melalui pakej The Colour Revolution akan menatijahkan sesuatu yang amat dahsyat dan buruk sekali yang mungkin tidak termimpi oleh kita semua.




30. Tahukah kita bahawa demonstrasi jalanan disusun begitu rapi sebagai permulaan orang dalam negara untuk menjatuhkan kerajaan? Orang dalam yang menerima arahan dan pembiayaan dari luar. Orang dalam inilah yang akhirnya akan menjadi boneka pemerintahan baharu. Mereka ini ibarat memagar kelapa condong, buahnya jatuh di ladang orang!




31. Cuba kita imbas apa yang berlaku di negara-negara Arab akibat penangan Arab Springs. Negara-negara seperti Mesir, Libya, Syria, Yaman, Tunisia masih bergolak walaupun pucuk pimpinan telah digulingkan. Pengambilalihan kepemimpinan negara itu dilakukan melalui proses anarki yang cukup terancang. Keamanan negara itu masih belum dapat dikembalikan. Apakah keadaan sebegitu yang sebenarnya mereka mahukan?




32. Justeru, kita orang UMNO dan rakyat di luar sana jangan mudah termakan dengan fahaman liberalisme yang saya takuti semakin menghampiri dan mendekati negara ini. Kita perlu sentiasa jelas bahawa demokrasi bagi negara kita adalah suatu kebebasan yang beralaskan Perlembagaan serta bersulamkan undang-undang. Maka, saya seru kepada semua sayap-sayap UMNO untuk bersama-sama berdiri teguh bersama Presiden dan saya untuk terus memperbetulkan keadaan ini. Kita tolak Open Society yang membiayai negara-negara yang dihasratkan untuk dikuasai demi kepentingan pembiayanya.




CABARAN 3: UMNO TERUS RELEVAN



Para perwakilan sekalian,



33. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, kita berpegang kepada prinsip berkongsi kuasa bersama-sama rakan kita dari pelbagai kaum. Saya ingin mengimbau wasiat yang dimaktubkan oleh Baginda Raja-Raja Melayu dalam wasiat yang disampaikan ketika Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan perkenan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.




34. Malam ini, saya ingin ulangi Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu berkenaan yang antara lain menyatakan bahawa: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi  kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain . (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak-anak negeri Sabah dan Sarawak).




35. Saya ingin mengambil peluang untuk mengupas kongsi kuasa ini kerana ramai yang sudah semakin lupa prestasi sebenar Barisan Nasional (BN) dalam tiga Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Justeru, ramai pemimpin parti kita, baik di dalam UMNO mahu pun BN dikhuatiri semakin terbuai alpa bahawa rumah agam yang sedang kita duduki ini sebenarnya sedang berada di ambang yang cukup kritikal.




36. Suka saya ingatkan diri ini dan kita semua iaitu pada 2004 (PRU ke- 11), kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) adalah sebanyak 198 dari 222 kerusi. Ia merosot kepada 140 kerusi pada 2008 (PRU ke- 12), manakala pada 2013 (PRU ke-13) menurun lagi kepada 134 kerusi. Malah kini sudah tinggal 132 kerusi selepas Pagoh dan Semporna meninggalkan kita.




37. Apa makna, apa maknanya semua data ini kepada kita? Apakah  ini dinamakan suatu kebetulan? Atau apakah ini boleh anggap sebagai bernasib baik? Atau apakah ini terus ditafsirkan sebagai suatu kelegaan?




38. Ianya merupakan suatu realiti yang harus direnungi dalam menelusuri rentak perjuangan untuk mengekalkan kerajaan sedia ada. Ingatlah bahawa terkekalnya kerajaan kita hari ini adalah dengan hanya 134 kerusi sahaja sebelum dua kerusi dilempiaskan dari pegangan kita.




39. Analisis memperlihatkan UMNO berjaya memenangi 88 kerusi, meningkat 9 kerusi berbanding dengan PRU ke -12, MIC meningkat satu kerusi kepada 4, manakala MCA pula merosot daripada 15 kerusi hanya kepada 7 kerusi dan Gerakan kekal kepada 2 kerusi. Bagi pakatan pembangkang pula kerusi DAP menunjukkan peningkatan daripada 28 kepada 38 kerusi.




40. Apakah ertinya analisis ini? Mungkin fakta-fakta ini semakin kita lupai. Persoalannya apakah dengan prestasi sebegini kita hanya mahu bertahan atau kita bersedia untuk bekerja lebih keras?




41. Kini, dengan 86 kerusi (setelah terbaru 2 kerusi hilang) yang didakapi oleh UMNO dan tertinggi berbanding parti komponen BN yang lainnya, pastinya boleh jika UMNO mahu. Semua jawapannya ada pada kita.




42. Semangat 1Malaysia, dipegang erat dan kemas oleh parti bernama UMNO ini demi memastikan legasi perjuangan yang diterokai bersama oleh pimpinan pelbagai kaum terdahulu dapat diteruskan sehingga sekarang. UMNO masih tegar mempertahankan teras politik kongsi kuasa.




43. Di sinilah peranan UMNO. UMNO bertindak membuktikan bahawa parti ini mengamalkan suatu bentuk politik yang dipanggil sebagai Politik Anjal. Suatu bentuk politik yang fleksibel dengan situasi atau suasana kini. Kata orang, tatkala susah, UMNO juga turut merasai susahnya, tatkala senang, UMNO juga turut bersama senang dengan yang lain. UMNO bersifat memayungi kaum bukan Melayu atas prinsip Sebumbung Senegara. UMNO bukan rasis.




44. Sesungguhnya, UMNO bukan hanya untuk orang Melayu dan Bumiputera sahaja. UMNO juga memperjuangkan hak semua bangsa dan kaum walaupun fakta membuktikan UMNO dan BN ditolak oleh rakyat bandar yang majoritinya bukan Melayu. UMNO bukan bertindak berdasarkan retorika politik tetapi telah membuktikannya dengan tindakan memastikan jaminan politik kepada rakan-rakan komponen yang lain.




45. Saya berharap, kedudukan UMNO sebagai parti politik tulang belakang BN tidak dipandang serong oleh rakan-rakan kita. Ayuh semua Wanita, Pemuda dan Puteri, bantulah parti untuk mengkhabarkan kepada semua yang berada di luar sana, bahawa parti UMNO telah berjaya membuktikan relevannya dalam konteks politik nasional. Khabarkan kepada semua di luar sana, bahawa UMNO tidak rasis. Kita berprinsip untuk mengamalkan perkongsian kuasa.




46. Kepada rakan-rakan komponen BN yang lain, marilah bersama bekerja sekuat UMNO. Ayuh, kita sama-sama berganding bahu. Ayuh kita sama-sama perkuatkan kekuda perjuangan kita bagi membolehkan kita melawan sesiapa sahaja yang cuba meruntuhkan kerajaan kita pada hari ini.




47. Pemimpin dan negara kita diserang bertubi-tubi dari pelbagai arah. UMNO yang selama ini berkhidmat tanpa berbelah-bahagi kepada semua kaum di negara ini dianggap sedang berada di hujung tanduk. Perdana Menteri yang dipilih secara sah dan demokratik mahu dipaksa berundur kerana wujudnya segelintir pemimpin lama yang bersekongkol dengan pembangkang dan anasir asing untuk meruntuhkan negara.




48. Apakah mereka tidak mengambil iktibar dari campur tangan asing ke atas negara Islam seperti Iraq, Libya, Yaman, Syria dan Afghanistan? Bagaimana Islamofobia dicipta untuk mewujudkan rasa ketakutan terhadap orang Islam? Bagaimana Islam dianggap mengajar keganasan? Adakah mereka turut mahu terjebak dalam perangkap persepsi yang dipasang oleh musuh-musuh Islam? Kita perlu sedar parti pembangkang ibarat nasi sedap, gulai tidak enak; gulai sedap, nasi mentah: semua serba tidak kena. Hidangan dengan pelbagai resepi transformasi, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy-NBOS), tidak diperkirakan sebagai hidangan lauk-pauk dengan citarasa untuk memenuhi selera kumpulan dan golongan yang berbeza serta strata sosial yang bersusun lapis, termasuk B40, M40 tanpa mengetepikan komuniti perniagaan dan kumpulan profesional.




49. Apa sekalipun keadaannya, kita perlu memandang ke hadapan. Pesan saya,




“The perfect plan, poorly executed, will fail. A lousy plan, well executed, is often successful.
It may seem obvious, but way to fix a failure is often simple that is WORK HARDER.”
(Pelan yang sempurna, jika tidak dilaksanakan dengan baik, akan gagal. Pelan yang tidak baik, jika dilaksanakan dengan baik, akan pasti berjaya. Jelas, untuk menangani kegagalan adalah dengan bekerja keras)



50. Sehubungan itu, bagi rakan-rakan BN janganlah bergundah-gulana dengan semangat kesetiakawanan UMNO. Marilah kita bertekad untuk bersama-sama berjuang dan mempertahankan BN dalam menghadapi PRU ke-14 akan datang.




Hendak belayar ke Teluk Betung
Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat.



Bunga dipuja setiap masa
Amat indah si mawar putih
Negara Malaysia tanah pusaka
Tempat mencurah taat dan kasih



51. Marilah kita terus berganding bahu mempertahankan tanah pusaka ini. Marilah kita kekalkan kemenangan selama ini. Janganlah kita terpedaya dengan dakyah bahawa kita telah diketepikan oleh rakyat semata-mata dongengan yang dijaja oleh saudagar mimpi.




CABARAN 4: KESATUAN MEMPERKUKUH PARTI



Para perwakilan yang budiman,



52. Hari ini, kita berhadapan dengan persoalan perpaduan. Persoalan maslahat ummah ini perlu diperhalusi secara telus. Politik, dijadikan ungkapan untuk medan jual beli dan tawar menawar untung rugi peniaga politik. Janji-janji mereka, mahu memetik bintang di langit tanpa berpijak rumput di bumi.




53. Objektif politik yang bertunjangkan ‘matlamat menghalalkan cara’ membutakan mata-hati dan nurani demi kemaruk kuasa yang dianggap sebagai hak dan kepunyaan kelompok yang menyalak bukit.




54. Akhirnya, akibat meminggirkan hakikat kebenaran, mereka hanyut dalam kelekaan dan kealpaan. Ramai yang mudah terpedaya dengan maklumat palsu tanpa usul periksa, lebih bergantung kepada media alam maya berbanding merujuk kepada sumber yang sah, pakar yang arif dan orang yang bijaksana. Kita mudah menghukum sebelum dibicara. Kita lupa akan amaran Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, ayat 8; jangan kerana kita membenci sesuatu puak, kita melakukan kezaliman ke atas mereka.





(Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan).



55. Kita seolah-olah mengundang hukuman dan bala ke atas onar yang dilakukan. Ingatlah kata pepatah lama: harta orang jangan ditarik, hak kita jangan dibuang! Keruntuhan sesuatu bangsa bukanlah akibat penjajahan asing semata-mata. Sebaliknya, ia juga akibat daripada kesilapan dan kealpaan sesama bangsa sendiri yang menyanggah prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan umat sebagaimana dianjurkan oleh agama.




Perwakilan sekalian,



56. Pemimpin UMNO hari ini perlu sedar bahawa setiap tindak tanduk kita pasti ada implikasi kepada masa depan. Kita tidak mahu pemimpin seperti Maharaja Rome Septimius Severus. Keamanan dan kemajuan empayar di zamannya dicapai melalui cara pentadbiran yang keras. Pegawai dan rakyat semua takut kepadanya. Ahli sejarah semua sepakat menyimpulkan bahawa beliaulah sebenarnya yang telah menanam benih-benih kehancuran empayar Romawi yang penuh keagungan itu.




57. Masih ingatkah kita semua lagi, suatu masa dahulu, seorang nakhoda telah mengungkapkan perihal “Melayu Mudah Lupa dan Melayu Haprak. Namun, malang sekali, nakhoda pengungkap “Melayu Haprak” itu telah terjun dari bahtera UMNO ini. Sebenarnya siapakah yang haprak ni? Oleh itu Melayu yang mudah lupa di luar sana ingin saya laungkan di sini:




Biar bangsaku ini sedang lelah
Mencungap dihimpit ketakutan
Pucat menyembunyi
Debar kebimbangan
Melihat musuh menerkam geram
Bak helang lapar terbang menjunam
Bangsa ini akan tetap gagah bangkit 
Bangkit mempertahankan haknya.
Demi agama, demi bangsa, demi survival
Dan demi kelangsungan umat Melayu!
Allahuakhbar!



58. Justeru, yakinilah kita semua pada malam ini, tetaplah kekal bersama dengan parti UMNO, parti ini adalah pilihan jalan yang lurus dan insya-Allah akan diredhai Allah SWT selamanya.




Saudara-saudari sekalian,



59. Kita orang Melayu tidak akan lupa jasa, nafas dan roh perjuangan yang dibawa oleh UMNO. Kita juga tidak akan lupa bahawa UMNO-lah satu-satunya wadah keagungan agama Islam dan kuasa Melayu.




60. Kepada sahabat-sahabat kita yang dulunya bersama dalam UMNO, ingin saya berpesan:




Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai UMNO antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan



Ingatlah, tidak terkira besarnya jasa UMNO ini kepada “tuan-tuan dan puan-puan”. UMNO tetap akan kekal membela orang Melayu.



Anak nelayan berpukat di Pagoh
Menjelang senja bermalam di Jerlun
Pemimpin berganti UMNO tetap teguh
Sokongan ahli turun temurun



CABARAN 5: PENGISLAHAN RADIKALISME DAN EKTREMISME



Saudara-saudari sekalian



61. Pada 9 November yang lalu, saya telah diberi peluang untuk menyampaikan suatu syarahan bertajuk Pengislahan Radikalisme dan Ekstremisme di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di Universiti Oxford yang mana antara intipatinya adalah untuk memberi satu perspektif yang betul mengenai Islam dan Barat. Ia berkaitan aspek keganasan global ketika ini iaitu DAESH.




62. Saya telah menggariskan bahawa ekstremisme, radikalisme dan keganasan bukan sahaja didorong oleh kesesatan orientasi, tetapi juga oleh fahaman sekularisme dan liberalisme yang tidak kena pada tempatnya.




63. Tujuan saya menerangkan perkara ini kerana kita semua perlu menggalas tanggungjawab bersama untuk mengislahkan semua elemen aliran negatif dengan menangani kedua-dua faktor dalaman dan luaran secara serentak serta bersungguh-sungguh.




64. Sebagai umat Islam, kita mesti menggunakan segala sumber yang ada dan bekerjasama dengan semua pihak untuk mencegah dan membendung aliran negatif ini. Saya telah menerajui pendekatan deradikalisasi bagi membendung kegiatan ektremisme dan radikalisme yang menggugat keamanan negara. Pencegahan dan punitif bukanlah pendekatan terbaik tetapi proses deradikalisasi perlu berkesinambungan dan dipertingkatkan.




65. Sesungguhnya, kita semua patut berbangga kerana kerajaan ini begitu berani bersuara di peringkat antarabangsa walaupun secara relatifnya negara kita adalah kecil. Ini sekaligus menunjukkan bahawa UMNO relevan bukan sahaja memperjuangkan karamah Islam di negara ini tetapi juga di peringkat sejagat.




CABARAN 6: KEPEDULIAN SOSIAL



Saudara-saudari sekalian,



66. Masyarakat Melayu sudah berubah. Perubahan masyarakat Melayu berpaksikan kepada peningkatan taraf dan gaya hidup terutama bagi mereka yang berada di bandar. Namun begitu, kebanyakan masyarakat Melayu yang tinggal di bandar masih dalam keadaan daif yang memerlukan transformasi pemikiran, sikap dan gaya hidup.




67. Terdapat di kalangan mereka, yang terbawa-bawa budaya dan amalan lama, yang tidak sesuai dengan perubahan zaman sehingga tampak miskin dari segi pemikiran dan sikap. Begitu juga dalam kalangan masyarakat Cina dan India serta kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak. Mereka juga masih ramai yang miskin seperti orang Melayu.




Saudara-saudari perwakilan UMNO sekalian,



68. Sama ada kita sedar atau tidak, kerajaan kita senantiasa menjaga kebajikan golongan masyarakat di bandar. Masalah ke sem pitan hidup golongan berpendapatan sederhana dan rendah di bandar yang sering mengalami tekanan terutamanya tekanan ekonomi sering mendapat keprihatinan kerajaan.




69. Saya sedar masih ada golongan per te nga han B40 yang terkapai-kapai da lam mengharungi kos sara hi dup yang serba-serbinya me ningkat. Saya amat maklum, banyak perkara yang me re ka perlu selesaikan untuk menampung kos sara hidup. Mereka perlu fikirkan pelbagai bayaran yang menghimpit kehidupan keluarga, tanpa simpanan jauh sekali mempunyai pelaburan untuk mempertingkatkan kadar pelaburan demi masa depan keluarga mereka.







70. Malahan ketidaktentuan ekonomi dunia sebagaimana yang kita sedia maklum telah memberi kesan pertumbuhan ekonomi kepada negara kita. Ia juga menyumbang kepada berlakunya perubahan dari segi tingkah laku sosial, pandangan politik dan sikap antagonistik terhadap kerajaan.




71. Namun, yakinlah kita sebagai kerajaan tidak sedikit pun gentar dengan cabaran sebegini. Membujur lalu melintang patah. Sebagai parti yang diamanahkan oleh rakyat melalui pilihan raya yang sah, kita akan hadapi semua itu dengan penuh bijaksana. Malah kita yakin YAB Perdana Menteri mampu merealisasikan dan mampu menangani kos sara hidup ini.




Sidang hadirin yang dihormati sekalian,



72. Saya ingin tegaskan, kerajaan akan memberi keprihatinan terhadap bebanan yang ditanggung oleh golongan B40 dan M40 yang kini jumlahnya semakin melebar di negara ini.




73. Saya faham, jika permasalahan ini tidak didepani dengan baik, dibimbangi mereka akan berjauh hati dengan kerajaan. Situasi ini pasti akan menimbulkan ketidakpuasan hati dan mengakibatkan keresahan sosial. Mereka kelak dikhuatiri boleh berubah menjadi the silent killer terhadap kerajaan.




74. Oleh itu, dalam usaha merungkai permasalahan ini, kita sebagai parti yang menunjangi kerajaan, perlu sentiasa berusaha bagi memperjelaskan kepada rakyat bahawa agenda utama kerajaan begitu jelas dan berstruktur rapi dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini termasuk kehidupan rakyat di bandar.




74. Komitmen kerajaan untuk membantu rakyat jelata terserlah melalui usaha pembinaan 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa oleh golongan muda pada kadar yang lebih rendah dari kadar pasaran semasa bermula pada awal tahun 2017 nanti. Sewa beli tanpa deposit untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga telah dilaksanakan selain perkhidmatan bas percuma untuk pelajar-pelajar di sekitar Wilayah Persekutuan. Ini pasti akan dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah di bandar.




74. Selain itu, Program Pengedaran Barang Perlu, membuka 4MyFarm Outlet dan menambahbaik 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia juga akan dilaksanakan, semuanya demi untuk rakyat.




74. Insya-Allah, misi kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah bulanan rakyat kepada RM10,540 seisi rumah menjelang 2020 akan tetap menjadi suatu keutamaan.







74. Ayuhlah kita kepimpinan dan ahli UMNO seluruhnya, bangkit untuk tampil bersama Perdana Menteri dalam membantu memperjuangkan nasib mereka ini. Ingatlah pesan nenek moyang kita, tidak mewangi bunga, jika hanya sekuntum dan tidak menguning padi, jika hanya setangkai.










CABARAN 7: KESEJAGATAN UMMAH



Saudara-saudari sekalian,
79. Kini, terdapat 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia dan kehadiran Islam di kepulauan Nusantara ini telah memperkenalkan suatu hakikat baharu dalam sejarah peradaban Islam sedunia yang membanggakan. Sesungguhnya, Islam tidak tersebar dengan mata-pedang. Islam tersebar melalui dakwah dengan kaedah bil hikmah wabil hassanah. Malah di Alam Melayu kita ini, Islam tersebar tanpa kehadiran seorang pun tentera dari mana-mana Kerajaan Islam sama ada dari Timur Tengah atau India. Islam berada di sini sejak abad ke-8 Masehi dan berkembang pesat dengan usaha dakwah para awliya, da’ie dan para saudagar dari Tanah Arab.



80. Mereka dengan bijak dan cekap menyatukan seluruh penduduk di Nusantara, Champa dan ribuan kepulauan di rantau ini malah ratusan etnik yang berbeza dengan satu mazhab aqidah Asy’ariah, satu mazhab Fiqah Syafiiyah, dan pemikiran Ahlil Sunnah Wal Jamaah. Semua ini dijenterai oleh pandangan Alam Islam (Worldview of Islam) dengan satu lingua franca: bahasa Melayu berhuruf Jawi.



81. Seperti yang telah lama diperkatakan oleh pemikir ulung, tokoh Melayu Islam yang terbilang, malah beliaulah pelukis bendera UMNO, iaitu Profesor Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam telah mengangkat jiwa pemeluknya di alam Melayu ini ke tahap pemikiran ke arah lebih rasional dan saintifik, serta membawa nafas nasionalisme yang meluas. Jiwa inilah yang memberi kekuatan jati diri kita untuk berhadapan dengan Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Komunis, dan seterusnya memberi kekuatan untuk kita mendepani cabaran di hari muka.



82. Jati diri inilah yang mencetuskan rasa keterbukaan untuk menerima bangsa dan agama lain dengan penuh mahabbah dan mawaddah. Negara kita ini mempunyai dasar yang jelas dalam memperkenalkan sistem Islam yang tersusun. Ianya diguna pakai oleh negara-negara Islam lain. Ini bukan suatu kebetulan, tetapi suatu perencanaan yang digagaskan oleh para ulama, sarjana, dan pemimpin kita sejak dahulu lagi selaras dengan semangat dan rasa insaf terhadap amanah yang didokong bersama antara ulama’ dan umara’.



83. Kejayaan politik UMNO ini tergambar dalam dasar kewangan Islam, dasar perbankan, sistem ekonomi Islam yang berteraskan syariah termasuk sukuk atau bon yang berteraskan kewangan Islam. Malah pengwujudan Tabung Haji, Bank Islam dan koperasi berteraskan syariah merupakan antara contoh terbaik yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.



CABARAN 8: MENANGANI CABARAN DIGITALISASI



Perwakilan yang dikasihi sekalian,



84. Kita perlu menyedari, bahawa 87% dari maklumat diperolehi dari saluran komunikasi media baharu dan selebihnya dari media konvensional melalui media cetak dan media elektronik. Saya ingin menggagaskan kepada ahli-ahli sayap UMNO supaya bijak menguasai ruang siber atau ‘cyberspace’ secara serius dalam menangkis pelbagai fitnah, tohmahan, kritikan dan serangan dari pihak seteru politik kita. Kita perlu keluar dari kepompong lama yang hanya pandai melihat dan memadam api, sebaliknya kita perlu proaktif mencari kelemahan pihak lawan dengan peluru-peluru fakta yang boleh menyedar dan menyakinkan khalayak. Kita harus kreatif dan berusaha untuk mendekatkan diri dengan rakyat terutamanya kumpulan sasar dalam kalangan Gen-Y dan Gen-Z. Berswafoto (selfie) sahaja tidak mencukupi seperti yang sering kita lakukan.






85. Angkatan cybertrooper, perlu bersatu dalam menyusun strategi menentang musuh, bukannya sering berbalah sesama sendiri. Malah, saya tahu terdapat di kalangan mereka terjebak dengan agenda mempromosikan saudagar-saudagar politik yang menjenamakan tokoh-tokoh tertentu. Kumpulan ini mempunyai agenda yang hanya mereka sahaja ketahui. Seharusnya kita perlu mencari titik pertemuan dan penyatuan pemikiran (wehdatul fikr) dan mengenepikan jurang perbezaan.



86. Dalam politik, biarpun kita berada di gelanggang yang berbeza, wujudkanlah pertemuan kesilangan antara kita yang berpandukan kepada landasan agama, sejarah bangsa, dan tuntutan semasa serta perkiraan masa depan. Rapatkanlah silaturahim, berlapang dadalah dan hulurkan tangan sesama kita.



87. Sesungguhnya semua orang Islam adalah bersaudara. Ketepikanlah perbezaan antara kita dan hapuskanlah sempadan pegangan yang jumud tanpa mengira dimanakah letaknya fikrah sahsiyah dalam kalangan kita selama ini. Tautilah tuntutan agama ini dengan tali Allah, selari dengan maksud firmannya :

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.



88. Melalui manhaj (pendekatan) tabayyun (pencerahan) antara wadah politik yang berbeza demi kepentingan Islam dan ummah. Kita telah memulakan langkah-langkah ke hadapan untuk mencari titik persamaan bagi menyelesaikan permasalahan. Ia melalui pendekatan penyelesaian isu-isu yang melibatkan jemaah dan ummah tanpa mengetepikan pentas kita masing-masing. Keterbukaan dalam kalangan kepimpinan utama harus didokong oleh kita semua dengan penuh berlapang dada dan berfikiran terbuka.



Saudara-saudari sekalian.



89. Sekadar suatu renungan untuk kita hayati. Lihatlah kepada sebuah parti politik yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai sebuah parti politik ‘underdog’ sebagaimana yang berlaku kepada Bharatiya Janata Party atau BJP di India. Mereka telah berjaya menggantikan kepopularan sebuah parti yang besar dan mengukuh di negara berkenaan. UMNO harus belajar daripada pengalaman itu.



90. Pada PRU India ke-16 yang lalu, BJP telah memperlihatkan peningkatan kemenangan kerusi mendadak daripada 116 kerusi pada PRU 2009 kepada 282 kerusi pada PRU 2014. Inilah yang perlu diteladani oleh UMNO. Biarpun latar belakang UMNO dan BJP berbeza, namun pendekatan politik kita hendaklah menyamai parti berkenaan. Pendekatan baharu yang harus kita terjemahkan perlu dipersesuaikan dengan khalayak khususnya pengundi pertama kali (first time voters).



91. Apabila ditanya kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, apakah rahsia kejayaan BJP. Beliau mengatakan bahawa, mereka sepenuhnya menggunakan media digital untuk mendekati pengundi yang berjumlah seramai 814 juta orang. Dua laman sesawang (website) dijadikan senjata perang. Mereka menggunakan india272.com dan namonumber.com. Kedua-dua laman sesawang berkenaan telah dapat menukar persepsi khalayak terhadap parti yang dianggap sebagai sebuah parti yang ‘underdog’. Ternyata BJP telah berjaya menjadikan era digitalisasi yang berpaksikan kepada internet sebagai mantra politik yang utama dalam mengurus kejayaan mereka menumbangkan Parti Kongres Kebangsaan India.



92. UMNO harus belajar daripada kejayaan BJP ini. Tidak salah jika kita belajar daripada orang lain asalkan kita dapat meraih kejayaan yang sama. Mulakanlah langkah ini daripada sekarang.



Para hadirin sekalian.



93. Mengenali musuh UMNO pada suatu ketika dahulu tidaklah sukar, kerana musuh kita dapat kita kenali dengan melihat mereka menerusi lambang parti. Kini, kita berhadapan bukan sahaja dengan parti-parti politik yang jelas nyata sebagai musuh tradisi, tetapi juga dengan kelompok yang menentang kita dengan menyembunyikan warna sebenar mereka, yang selama ini tidak kelihatan. Musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan ini wujud tanpa kita sedari melalui platform dan gajet IT.






94. Kita perlu berhati-hati dan berwaspada kerana penanaman bibit-bibit ke arah mewujudkan komuniti kepembangkangan yang senyap ini, dibuat dengan penuh teliti dan rapi. Jika dahulu, mudah untuk kita mengenal pasti golongan pembangkang kerana ia terserlah melalui fahaman ideologikal yang mereka anuti tetapi tidak lagi hari ini.



95. Abad ke-21 ternyata telah mengubah landskap pembangkang kepada wujudnya suatu kelompok kepembangkangan, yang berpaksikan kepada dunia digital. Kita tidak nampak mereka secara jelas, tetapi kita dapat merasai kehadiran golongan kepembangkangan ini, menerusi alam maya.



96. Yakinlah bahawa yang benar pasti akan menang. Sudah menjadi sunnatullah bahawa kebenaran akan menang dalam pelbagai pertempuran. Sedangkan kebatilan akan hancur. Ingatlah bahawa Allah SWT dalam surah al-Syura ayat 24, Allah berfirman:







Bahkan mereka mengatakan : “Dia (Muhammad) telah mengada-adakan dusta terhadap Allah". Maka jika Allah menghendaki nescaya Dia mengunci mati hatimu; dan Allah menghapuskan yang batil dan membenarkan yang hak dengan kalimat-kalimat-Nya (Al Quran). Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati.






HALA TUJU STRATEGIK NEGARA : TRANSFORMASI NASIONAL 50









Para perwakilan sekalian,



97. Saya melihat apa yang digagas dan diaturkan oleh Presiden parti kita melalui pelan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 merupakan suatu pelan hala tuju jangka panjang negara melalui penglibatan golongan muda yang menyeluruh. Ianya merupakan suatu formula, yang akan digerakkan dalam kerangka wacana nasional. Ini merupakan pentas dan peluang terbaik kepada semua golongan muda tanpa mengira kaum dan latar belakang agar memberikan input yang bersesuaian dalam proses membentuk sebuah negara Malaysia yang tersohor di peringkat global menjelang tahun 2050.



98. Walaupun begitu, ini tidak bermakna mereka yang berumur sebaya dengan Wanita UMNO akan dikesampingkan. Tidak begitu, Kak Ijat, tolong pastikan anak-anak buah tidak berjauh hati. Jika ada yang jauh hati, pujuklah mereka. Wanita UMNO adalah ibu-ibu yang sentiasa berada di barisan hadapan dan tetap diarus perdanakan.



99. Sesungguhnya TN 50 ini memerlukan input dari segi citarasa golongan muda kerana kelak merekalah pewaris kepada amanah yang mulia ini. Sebarang perancangan atau dasar demi mencapai kesepakatan ke arah sesuatu yang baik dan mampu memberi faedah bukan sahaja buat mereka, malah semua rakyat di negara ini kelak.



100. Dialog atau wacana nasional ini merupakan platform khusus dan terbaik untuk mereka menyuarakan pendapat, dan melibatkan diri secara aktif mahupun pasif kerana mereka juga adalah rakan dalam pembinaan sebuah negara yang gemilang.






101. Justeru, saya amat berharap apabila wacana atau dialog nasional itu diadakan nanti, Pergerakan Pemuda dan Puteri akan menjuarai visi nasional ini. Pastikan Pemuda dan Puteri ke hadapan dan bekerjasama secara aktif dengan memastikan seramai mungkin golongan muda terlibat memberikan input dan buah fikiran yang terbaik. Pemuda dan Puteri harapan parti, masa hadapan negara pada tahun 2050 berada di tangan saudara-saudari.



MENDEPANI CABARAN



Para perwakilan sekalian,



102. Ingin dinyatakan kesukacitaan saya melihat semangat kesetiakawanan dalam kalangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Amat diyakini, saudara- saudari akan terus menjadi nadi penggerak utama dalam menentukan UMNO terus relevan dan berkesinambungan apabila sebahagian besar daripada kita yang berada di atas pentas ini mungkin telah tiada lagi.



103. Menjadi kelaziman seluruh anggota Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk meneliti prestasi setiap sayap pergerakan dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang dilontarkan untuk diterjemahkan pelaksanaannya. Sesungguhnya, apabila saya menyelak helaian demi helaian nota lama mengenai ketiga-tiga sayap ini, saya merasa cukup kagum.



104. Kekaguman saya meneliti prestasi dalam PRU ke-13 yang lalu, seramai 33 orang calon Wanita, 26 orang calon Pemuda dan 8 orang calon Puteri telah berjaya menjadi Ahli-Ahli Yang Berhormat sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. Semua ini, merupakan suatu pencapaian yang membanggakan parti.



105. Kepada Kak Ijat, adinda Khairy dan anakanda Ermy, usahlah khuatir. Pada PRU ke-14 nanti, saya sendiri akan membisikkan dan membisikkan lagi kepada Presiden kita untuk menambah bilangan calon-calon, dalam kalangan tokoh-tokoh yang berada dalam ketiga-tiga pergerakan sayap. Namun, ada prasyarat manteranya. Wanita, Pemuda dan Puteri perlu terus istiqamah. Buktikan kepada kepimpinan, dengan bekerja keras dan terus bersemangat menjulang keperkasaan parti melalui kekuatan jentera dalam sayap-sayap pergerakan masing-masing. Saya pasti, Presiden parti merupakan seorang pemimpin yang memahami dan sayang serta baik hati kepada saudara-saudari semua. Insya-Allah.









Para perwakilan sekalian,



106. Sesungguhnya, sejak dari zaman Allahyarham Ibu Zain mengetuai Wanita, pergerakan ini berkembang megah membawa obor kemerdekaan negara. Berpaksikan kepada tiang seri yang kukuh serta mantap, bergandingan dengan Pergerakan Pemuda UMNO sebagai tiang kepada parti.



107. Hari ini, di halaman perkampungan keluarga besar UMNO ini kita diserikan lagi oleh kuntum-kuntum segar mekar haruman mewangi Pergerakan Puteri UMNO yang merupakan tunas-tunas serikandi negara dalam menabur bakti suci murni untuk mewarnai persada politik UMNO.



108. Siapakah yang dapat menafikan murninya jiwa seseorang ibu yang mahu melihat keluarganya sentiasa  bahagia?  Tangan ibu manakah yang mahu membakar rumahnya sendiri? Hati ibu manakah yang redha melihat keluarganya dicaci dihina, meskipun terkadang kudrat seorang ibu agak terbatas. Namun, saya yakin ia pasti dan tetap akan memanjatkan doa ke hadrat Ilahi, agar keluarganya sentiasa dalam rahmat.



109. Pasti, inilah yang sentiasa berada di hati setiap warga Pergerakan Wanita UMNO yang tidak mungkin merelakan rumah agamnya dibakar oleh api kebencian,  tidak juga mungkin pergerakan Wanita UMNO redha kepada setiap kebejatan dan onar dalam keluarga besar kita yang boleh memusnahkan harapan seluruh keluarga.



110. Menjadi harapan semua, agar semangat juang Pergerakan Wanita UMNO tidak pudar, untuk terus memastikan agar agenda utama mereka menepis sebarang dakyah pembangkang daripada berterusan memusnahkan kebahagiaan rakyat.



111. Saya yakin, sebagai seorang ibu pastinya Pergerakan Wanita akan bangun menyingsing lengan dalam menyanggah siapa sahaja yang cuba merobek rumah agam UMNO ini. Kepada mereka yang cuba memperkecilkan atau memperlekehkan UMNO, suka saya mengingatkan, hati seorang ibu jangan dibakar. Kesabaran seorang ibu jangan sesekali dicuba-cuba. Wanita tetap memegang falsafah, tangan yang menghayun buaian itu tetap mampu menggoncangkan dunia.



112. UMNO dianggotai oleh jutaan ibu-ibu yang tidak redha melihat acuan politik caci nista bersalutkan hamburan fitnah diteruskan. Jutaan ibu-ibu  akan bangun membela UMNO andainya parti kita diancam.



113. Santun seorang ibu ada batasnya. Kesabaran seorang ibu ada had dan sempadannya. Sekali terancam, sekali merasakan rumahnya mahu dihancurkan, pasti akan lahir jutaan wanita berjiwa seperti Tun Fatimah biarpun di  era dunia tanpa sempadan.



114. Dengan izin “the rise of Joan Of Arc will surface” atau Sultanah Safiatuddin Shah atau Cut Nyak Dhien, wanita Acheh yang menentang Belanda, dan ramai lagi pejuang wanita yang selama ini dilupai sejarah akan bangkit di persada perjuangan bangsa.






115. Kak Ijat, saya rakamkan jutaan terima kasih, kerana selama ini telah berjaya mengemudi wanita-wanita merah menyala ini dengan cukup berkesan sehingga digeruni lawan. Tahukah Kak Ijat, pemimpin wanita parti pembangkang amat menggeruni Wanita UMNO?



116. Tetapi jangan salah sangka, pembangkang bukan gerun kerana mengerlipnya baju dan kilauan manik-manik tudung wanita UMNO, tetapi kerana program-program touch based seperti Skuad Sayang, Skuad An-Nur, Jalinan Rakyat dan banyak lagi program yang tidak terhitung. Tanpa seorang ketua dan kepimpinan yang berkualiti dan mantap, pencapaian sebegini sukar dicapai. Syabas Kak Ijat, syabas Kak Zizah dan seluruh saf kepimpinan Wanita UMNO.



Saudara-saudari sekalian,






117. Di kesempatan ini, saya juga ingin mengingatkan saudara-saudara sidang perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO, meskipun agak lama juga saya telah meninggalkan wadah kepemudaan dan walaupun saya tidak bersarung-kakikan dengan stokin belang atau berwarna merah, namun yakinlah, saya masih tetap “FIT” sebagaimana saudara-saudara sekalian. Hati dan jiwa saya tetap bersama Pergerakan Pemuda UMNO walaupun saya sudah dikategorikan sebagai kurang muda. Namun jiwa saya tetap segar-bugar dengan langkah-langkah kepemudaan dan jiwa kepahlawanan pemuda.



118. Kepimpinan UMNO hari ini terasas daripada jiwa kepemudaan yang tidak pernah gentar menghadapi sebarang rintangan. Segala cabaran akan tetap dihadapi walau dalam apa keadaan sekali pun.



Patah sayap bertongkat paruh
Patah paruh bertongkat siku
Patah siku bertongkat dagu
Patah dagu bertongkat kuku
Namun ku daki, ku daki jua.



119. Ini bukan retorika, tetapi adalah “Sumpah Pemuda” yang pernah kami lafazkan di zaman pemuda dahulu dan tidak mungkin akan tercabut dari akar tunjang dan sanubari yang masih menebal hingga kini. Siapa sahaja yang cuba membuat onar atau mahu mencabar UMNO, yakinlah, kami juga ada falsafah yang dipegang, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Biar kami berputih tulang, tidak mungkin kami redha berputih mata.



120. Pemuda UMNO, saya ingin menyatakan secara berterus-terang, sesungguhnya benteng ketahanan bangsa berada di bahu saudara-saudara.  Kekuda perjuangan saudara-saudara perlu diperkukuhkan. Tekad mesti diwajakan. Iltizam dan semangat tidak harus gentar menghadapi badai gelora cabaran yang sedang dihadapi oleh UMNO. Sekali melangkah, terus melangkah. Pemuda tidak akan pernah menoleh ke belakang.



121. Semboyan dan nafiri perjuangan kita kian hampir ditiupkan. Paluan genderang perang menghadapi PRU ke-14 kian bergema. Obor perjuangan suci UMNO tetap akan kita nyalakan.



122. Jangan sesekali bermain api dengan Pergerakan Pemuda UMNO. Usah dipersenda semangat kental Pemuda yang terasuh oleh santun budaya bangsa. Apabila tiba kala dan waktunya, sayap akan terus berkembang. Saya tetap yakin, Pergerakan Pemuda  UMNO pasti berada di barisan hadapan mendepani arus cabaran. Di saat itu, “ingatlah, ingatlah, setiap tangan yang mencincang, maka pasti bahu itu juga harus memikulnya”.



123. Syabas kepada seluruh saf kepimpinan dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO hari ini yang masih teguh menyimpan tekad dan jiwa perjuangan. Meskipun  sekadar memerhatikan dari jauh, namun saya masih dapat merasakan bahang semangat roh perjuangan pemuda yang diasaskan oleh zaman Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Datuk Harun Idris, Tan Sri Jaafar Albar dan pemimpin seterusnya yang tetap membara.



124. Saya bangga dengan khidmat bakti yang Pemuda berikan. Teruskan khidmat saudara-saudara semua. Teruskan program-program utama untuk anak-anak muda seperti Keahlian dan Daftar Pemilih, Kesatria Muda Keselamatan, Job Fair, Portal For The Rakyat, Pemuda Mahir dan pelbagai lagi.



125. Saudara KJ, saudara telah melalui laluan politik yang agak rencam, namun saudara tetap istiqamah dalam mengemudi Pemuda. Tiada keluh, tiada kesah, dan lihatlah sekarang, ternyata Pemuda mengungguli pentas yang tersendiri.



126. Ribuan anak muda menyertai program-program besar yang diadakan saban tahun. Saudara-saudara dan kepimpinan serta ahli pemuda di seluruh pelusuk tanah air telah membuktikan bahawa Pemuda yang ada hari ini, merupakan pemuda yang boleh diharapkan dalam PRU ke-14 nanti. Syabas KJ, Wan Bro dan jajaran kepimpinan Pemuda di atas kepemimpinan yang membanggakan.



Perwakilan sekalian,



127. Dalam keberadaan kita mendepani dunia tanpa sempadan ini, saya juga amat berbangga kerana UMNO telah memiliki kuntum-kuntum bunga bangsa yang kian berkembang mekar melalui Pergerakan Puteri.



128. Meskipun liku sejarah Puteri baharu 15 tahun, namun sejak ia mula ditubuhkan dan diasaskan bermula dari era Datuk Seri Azalina Othman, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Rosnah Shirlin Rashid dan kini disandang oleh Datuk Mas Ermiyati Samsudin, Puteri ternyata telah mula memancarkan sifat-sifat keberanian Puteri Saadong. Ternyata Pergerakan Puteri UMNO kini, kian matang dalam sama-sama berjuang di persada politik.



129. Walaupun, batas sopannya sebagai gadis pingitan cukup terpelihara, dengan lenggok bicaranya teramat indah, melalui tutur katanya yang penuh bermotivasi, namun sengatannya kepada beliawanis tanah air cukup berbisa.



130. Yakinlah, Puteri UMNO akan terus menyerlah. Siapa tidak ingat akan program-program Puteri seperti #Kami Prihatin yang banyak membantu orang yang memerlukan. Belia universiti didekati dengan penuh hikmah melalui program Sekretariat Mahasiswi Nasional (SWINAS), ADINDA, program membumi seperti Kembara ILMU yang berjaya membantu lebih 10,000 pelajar SPM seluruh negara dan pelbagai lagi dan terkini Festival Wanita Muda.



131. Bagi saya Puteri kini telah menjadi satu gandingan yang cukup mantap kepada sayap-sayap lain dalam usaha mengembangkan layar bahtera UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa. Syabas Ermy, Zahida dan barisan pimpinan Puteri .



132. Ingatlah wahai Puteri, berbekalkan ilmu yang terasuh oleh didikan bapa yang sentiasa kasih dan menyayangi  anak gadisnya, bersama santun tangan si ibu dari Pergerakan Wanita yang membelai di setiap ubun perjuangan, dan bersandarkan semangat waja yang membara di dada setiap ahli Pergerakan Pemuda, pastinya landasan perjuangan Puteri akan semakin kental dalam menghadapi seribu cabaran politik zaman.



133. Tidak salah jika saya katakan bahawa Puteri UMNO bagaikan Sayyidatina Fatimah Azzahra, puteri kesayangan Baginda Rasulullah SAW, tahu membezakan antara  intan dan kaca. Maka, ayuhlah Puteri teruskan perjuangan anakanda sekalian dengan hati suci dan tekad yang boleh. Ayahanda Zahid ini akan sentiasa memerhati dan membantu apa jua yang patut. Insya-Allah, Tuhan tetap bersama kita dalam meneruskan obor perjuangan demi agama, bangsa dan negara.



134. Anakanda Ermy, terus bakarkan obor-obor semangat kepada semua Puteri di seluruh negara. Saya tahu anakanda Ermy sudah sampai masa beralih sampan, tetapi tatkala baki usia dalam Puteri masih ada ini dan demi PRU ke-14, julanglah setinggi-tingginya panji Merah Jambu ini. Anakanda Ermy telah melakukan yang terbaik. Ayahanda berpuas hati dan bangga dengan pencapaian Puteri sehingga hari ini. Teruskanlah perjuangan yang suci murni ini bersama Pergerakan Wanita dan Pemuda dalam menjadi benteng mempertahankan UMNO dalam PRU ke-14 nanti.



PENUTUP






Para perwakilan sekalian,



135. UMNO telah melalui proses peremajaan atau rejuvenasi yang cukup matang. Parti ini telah berjaya membuktikan bahawa ia memberikan banyak jasa kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya. Jagalah parti ini sebaik-baiknya. Lupakanlah segala sengketa. Lupakanlah soal perebutan jawatan dan tempat dalam parti dan rapatkanlah barisan demi kejayaan yang lebih besar dalam PRU ke-14.



136. Fokuskanlah kekuatan untuk menarik lebih banyak sokongan dan keyakinan rakyat kepada kita bagi menghadapi perang yang lebih besar pada PRU ke-14 nanti. Kita tiada pilihan, melainkan menang, menang dan terus menang dalam PRU ke-14 nanti. Demi kepentingan agama, orang Melayu, institusi raja dan menjaga rakyat Malaysia keseluruhannya.



137. Untuk menjadikan UMNO kuat selama-lamanya sifat setia atau wala’ seharusnya menjadi pegangan setiap ahli. Biar apa sekalipun cercaan dan tohmahan dilemparkan kepada Presiden parti, ia tidak sedikit pun mampu mengugat rasa setia saya kepada beliau.



138. Dan ingatlah semua bahawa sekarang ialah waktu di mana Allah SWT meletakkan Dato’ Sri Najib sebagai Presiden kita. Takdir Allah SWT mengkehendakinya begitu. Justeru, saya menyeru kepada seluruh perwakilan agar jangan sesekali berwala’ hanya di bibir. Wala’ saudara saudari sekalian haruslah juga pada perbuatan kerana itulah sebenarnya tuntutan dalam agama kita.



139. Sesungguhnya sikap setia ahli kepada institusi kepresidenan membolehkan parti ampuh dan mampu menangkis setiap serangan sama ada dari luar dan mengekang pengkhianatan dari dalam. Ahli UMNO perlulah menghindari golongan munafik. Mereka yang sifatnya, apabila berkata akan berdusta, apabila berjanji mereka akan ingkari dan apabila diberi kepercayaan mereka mengkhianatinya.
Kumbang terbang di pohon sena
Hinggap seketika di ranting cemara
Sumbangan UMNO besar maknanya
Maju bangsa maju negara



Pohon nyior ditanam sederap,
Dimakan kumbang pucuknya layu,
Kepada UMNO kita berharap,
Hidup UMNO, Hiduplah Melayu.



Dengan lafaz fasabbih bihamdi rabbika wastaghfirhu innahu kaana tauwaabaa, saya dengan ini merasmikan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2016.



Wabillahi Taufik, Wassalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh

Sekian, Selamat bersidang.

No comments