Mengapa pendidikan di Malaysia mundur? – Saiful Nang
Iqra ialah pembacaan tanpa teks tetapi konteks. Tilawah ialah bacaan teks yang terlahir dari pembaca konteks. Mudahnya begini, hari ini, kita ajar anak untuk melihat tapi tidak meneliti. Kita ajar anak pandang tanpa analisa. Maka lebih tepat, pendidikan kita hari ini ialah pendidikan berdasarkan TILAWAH dan bukan IQRA. Jika susah nak faham, saya berikan contoh. Dalam kelas kita diajar sesuatu yang telah dituliskan dan itulah tilawah. Namun bila kita berhadapan dengan satu permasalahan yang tiada dalam buku, kita akan lost dan tidak tahu nak buat apa kerana pendidikan kita tidak berdasarkan konteks tetapi teks.
Semasa sessi forum di INTAN Sabah. |
Salah satu kaedah pendidikan terbesar AIP ialah “Bekerja”. Dengan kerja kita jumpa masalah, dari masalah kita cari penyelesaian. Dari penyelesaian itu kita inovasikan ilmu. |
Saya bersama anak-anak RPWP bawa mereka bersiar-siar di Tanjung Karang. |
Bas ini hasil airtangan anak-anak RPWP yang sebahagiannya telah ditarafkan sebagai pelajar tercicir di dalam pendidikan aliran perdana. |
Semasa AIP ditubuhkan, saya ada pernah menulis tentang pendekatan problem-based-learning. Ada yang ketawakan juga, katanya…apa beza dengan PBL yang ada di sekolah. Ada beza sikit, PBL di AIP tidak diukur pada peperiksaan tetapi projek. Sebuah bas dua tingkat terpakai dibeli dengan harga RM80,000 sedangkan harga barunya bernilai RM1 juta. Namun dengan harga itu, bas itu bukanlah bas yang mampu berjalan di atas jalanraya. Kita berikan anak-anak AIP ini task untuk baikpulih dan rewardnya ialah, bas itu mereka punya nanti. Maka dengan team lebih kurang 20 orang dengan panduan dari murobbi yang pakar dalam mekanikal, eletrikal, paintwork, bodywork dan pendingin hawa dan rujukan dari pakar-pakar luar bas itu sudah mampu berjalan sejauh Kelantan selepas itu.Itulah peperiksaan mereka. Setelah mereka siap sebuah bas, yang lain sudah jadi mudah. Terkemudian, datanglah lori, kren, kereta, jentolak semuanya mampu dibaikpulih. Yang penting ialah bagaimana mereka menumpukan kepada mencari penyelesaian masalah berbanding menjawab kertas peperiksaan. 90% bebanan tekanan anak-anak ini hilang tanpa peperiksaan. Tekanan yang tinggal ialah bagaimana mahu selesaikan masalah yang realistik. Namun, itu satu nikmat kerana ia bukan simulasi atau teori. Pembelajaran jadi terlampau menyeronokkan sehingga disuruh tidur pun tak mahu.
Irfan ketika foto ini diambil baru berusia 14 tahun. Ketika itu, penghasilan dari kerjatangan beliau mengjangkau RM2-3k sehari jika mahu dikira. Mahir dalam bodywork, paintwork dan mekanikal. Kini, dia juga mahir dalam pendawaian eletrik. |
Inilah pendidikan tanpa keciciran. Mengapa tidak ada keciciran? Kerana semuanya kita bawa sama mengikut kecenderungan mereka. Jika kita anggap semua anak murid di sekolah itu anak kita sendiri, sebodoh dan selembab manapun anak kita…tak mungkin kita akan tinggal.
Kita rindu juga guru seperti itu. Guru yang benar-benar guru yang mengajar tanpa batasan tugas dan gaji.
Berapa banyak fizik, matematik, kemahiran hidup, sains yang digunakan dalam membaiki sebuah bas? Ada sikit tetapi mereka tidak perlu belajar seluruh 300 mukasurat buku hanya untuk guna 2-3 mukasurat ilmu. Masa kita singkat, pilih apa yang kita mahu tahu kerana kita pasti tak akan mampu untuk tahu semua.
Pada ketika saya tuliskan dahulu, AIP ialah sekolah yang tidak berasaskan sukatan pelajaran malah pelajaran anak-anak ini tidak bersukat-sukat. Ketika itu ada orang mengkritik persekolahan tanpa sukatan, dan apabila kemudiannya Finland mengeluarkan kenyataan untuk melaksanakan persekolahan tanpa silibus, ketika itu orang-orang yang mengkritik itu saya perhatikan memberikan isyarat “bagus” kepada Finland. Mengapa?
Kerana kita orang Malaysia, kita tidak lebih hebat dari Mat Saleh. Bila kita buat orang kata kita buruk. Bila Mat Saleh buat mereka kata itu semua bagus. Bila Mat Melayu cakap English terabur, satu negara kecam bila Mat Italy cakap English broken rotten satu negara buat senyap.
Itu punca, kenapa kita tidak maju kerana KITA TAKUT NAK BERUBAH. Kita takut buat perubahan. Kita nak berubah pun tengok orang lain dahulu baru kita nak ikut sedangkan pada cerita nabi-nabi dahulu ada banyak sampel boleh dirujuk.
1 PEPERIKSAAN UNTUK SEMUA ITU KURANG ADIL
Memang ada peperiksaan vokasional dan agama selain dari SPM. Namun, adakah TV dan suratkhabar kita memberi ruang untuk highlight inovasi pelajar SVM? Biasakan kita lihat dalam dada akhbar dan TV drama tangisan gembira anak-anak yang dapat straight A SPM? Sehingga boleh dapat tokoh Maal Hijrah lagi tetapi adakah kita biasa lihat anak-anak kita yang cemerlang dalam SVM atau inovasi mereka masuk ke dada akhbar dan TV?
JARANG!
Kerana mereka ini underdog. Tidak dipandang. Dalam masyarkat sendiri mereka tidak dipandang. Dalam kementerian juga sama. Mereka mengkelaskeduakan pendidikan jaluran kemahiran. Mengapa kita masih fikir semua manusia sama sedangkan cap cari kitapun semuanya berlainan. Selama ini kita mempercayai ikan, kambing, unta, monyet, kura-kura, biawak, ular semua boleh menduduki peperiksaan memanjat pokok. Maka kita percaya dengan peperiksaan itu bahawa kura-kura, kambing, unta dan ikan adalah OKU ataupun lembam. Sedangkan bila diuji Si Ikan dalam lapangan renang, ketika itu monyet yang cemerlang peperiksaanpun akan jadi lembam dan ditarafkan OKU.
Tanpa sukatan, projek menjadi ukuran fungsi akal. Tidak perlukan exam kerana nanti mereka berlumba. Bila mereka berlumba-lumba nanti mereka mula jadi selfish kerana setiap orang mahu menang. Dasar pendidikan AIP ialah KOPERATIF dan bukannya KOMPETITIF. |
PENDIDIKAN KITA HARI INI MEMAKAN MASA DAN MERUGIKAN
Ini juga salah satu intipati ucapan saya di INTAN Sabah. Bukan sekadar di hadapan penjawat awam muda tetapi di hadapan seorang veteran pendidik dan saintis Prof. Madya Dr. Rem Dambul (tepuk tangan sikit). Jika dah namanya Professor tu kan, semua kena tahulah, ini orang banyak membaca dan banyak menulis dan pasti banyak ilmunya.
Saya jelaskan, dahulu semasa di universiti, buku yang perlu dipelajari setiap semester sehingga graduate rasanya penuh 2 rak buku. Semasa bekerja, saya hanya praktis kurang 5% dari apa yang saya pelajari di universiti. Mengapa saya perlu buang masa belajar sesuatu yang saya tidak perlukan? Bukankah 95% itu saya boleh gunakan untuk membaca apa yang saya benar-benar perlu tahu.
Tak boleh! kenapa?
Kena ambil exam. Mana boleh exam keluar soalan apa yang kita mahu jawab sahaja?
(akur dengan CGPA 3.21 – Takde harapan jadi menteri)
Cuba kita suakan satu masalah di hadapan mereka secara realistik. Contohnya, bagaimana kami menguruskan 10 cubic concrete dari lori mixer yang datang dalam masa 10 minit? Mustahil. Dengan jentera yang adapun concrete boleh diratakan pada kadar 1-2 jam dan itu sangat memakan masa. Lagi lama, konkrit semakin mengeras. Lalu terciptalah dengan masalah itu satu penarik kecil merata simen tapi ditarik dengan kederat manusia. 2 jam menjadi 1jam 30 minit untuk merata tetapi tidak level. Kemudian inovasi itu dipertingkatkan dengan menggunakan besi angle lebih berat dan panjang yang kemudian ditarik oleh jentera. Besi panjang itu mampu merata dan melevel konkrit dengan lebih pantas. Namun, tenaga manusia masih digunakan untuk melicinkan konkrit. Kemudian inovasi itu dikembangkan dengan menambah 1 lagi sisi dengan besi angle lain yang berperanan sebagai pelicin. Maka tenaga manusia hanya digunakan untuk touch-up sahaja.
Buruk? memang buruk. Lebih elok buruk tetapi kita punya dari cantik tapi beli pada orang lain. Sampai bila-bila kita tak mencipta apa-apa jika sentiasa di ejek. Hari ini mungkin buruk, inovasi yang kali keberapa nanti mungkin menjadi teknologi yang boleh didagangkan.
Teknologi terhasil dari masalah manusia di sekitar mereka. Dalam buku manakah anak-anak ini mampu membuat inovasi begitu? Tidak dari buku tetapi dari pemerhatian mereka dan penggunaan akal yang optimum. Bila anak-anak ini telah mencipta dan kemudian katakan mereka menuliskan buku “How to manage 10 cubic meter concrete in 30 minutes” lalu dibeli oleh universiti dan menjadi rujukan siswazah. Semasa buku itu dirujuk, teknologi yang ditulis itu telah berkembang lebih jauh dan ilmu yang mereka dapat dari buku TIDAK UP TO DATE.
Prof Madya Dr. Rem Dambul perhati jer dari bawah stage sambil menggaru-garu dagu dan sekali sekala kelihatan dia seperti kepanasan dalam aircond yang sejuk.
Pendidikan kita sepatutnya mengasah fungsi akal dan bukan membuatkan akal kita malas dan hanya guna otak untuk menghafal kerana apa yang kita hafal hari ini tidak semestinya mampu selesaikan masalah kita esok. Jika guna akal, insyaAllah kita mampu selesaikan apa sahaja masalah yang datang.
Sebab itulah, Saiful Nang Academy juga menggunakan pendekatan yang sama. Kami dapat shortcut pembelajaran dalam bidang fotografi dan video selama 4 tahun di universiti hanya dalam 4 bulan. KENAPA? Kerana mereka hanya belajar yang mereka perlu sahaja dan bukan apa yang saya nak mereka belajar. Lebih cepat…lebih jimat walaupun sijilnya tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Sama macam saya, mana saya ada sijil atau ijazah dalam fotografi tetapi satu dunia saya lacak dengan fotografi. Belum ada satu pelangganpun minta saya tunjuk sijil saya kerana my WORKS SPEAK LOUDER. Tidak lupa juga, barisan akaun staff dalam kumpulan syarikat kami ada yang baru berumur 17 tahun dah pandai buat tax audit. Cuma nak sain sahaja tidak ada sijil.
The best part was, selepas itu Dr. Rem Dambul pula membuat pembentangan. Hampir separuh pembentangannya mengulas apa yang saya katakan dan beliau sangat bersetuju dengan apa yang saya katakan sekalipun beliau tahu tiada banyak boleh diubah dalam sistem sedia ada di universiti asal beliau. Beliau sealiran fikiran dengan saya sebenarnya. Menjadi pensyarah di UMS, orang kenal beliau dengan pensyarah yang suka buat “open book” exam. Itu bermakna, jawapan bukan datang dari hafalan buku tetapi kefahaman dalam memahami konteks berbanding teks.
Gimme five Dr. Rem!
Dalam setiap masalah mesti ada banyak penyelesaian. Dalam nak selesaikan satu masalah ada banyak buku boleh dirujuk (bukan setiap buku kena baca khatam tetapi mana yang perlu sahaja), dan banyak search boleh dibuat, ramai individu boleh dirujuk yang penting…masalah selesai.
Sebagai majikan, hari ini masalah terbesar saya ialah bila graduan tidak pandai buat kerja. Kenapa? Mereka terlalu bergantung kepada akal penulis buku dan bukan akal sendiri. Akhirnya, tak banyak yang dipelajari di universiti mampu digunapakai.
Perlu ingat satu perkara…adakah kita belajar untuk sekadar kumpul ilmu dan mati seabgai orang yang BANYAK ILMU tapi tak pakai? atau kita mahu memajukan diri, agama, bangsa dan negara dengan menyelesaikan pelbagai masalah sehingga dirujuk oleh orang lain cara kita.
Cukupkah hampir 60 tahun kita merdeka, semua perkara dah berubah pesat tetapi pendidikan masih mengekalkan gaya yang sama dengan pertukaran sedikit kosmetik sana sini setiap kali bertukarnya menteri.
UBAH CERITA DONGENG MELAYU YANG ANTI-INOVASI
Dari kecil kita dibesarkan dengan dendangan cerita Si Luncai. Kita lihat seperti Si Luncai itu loser sedangkan dia seorang yang bijak sampai boleh mengakal pengawal-pengawal istana yang membawanya untuk hukuman mati.
Mentaliti kita sepatutnya sehebat Mat Jenin. Kita berimaginasi dari kecil sampai ke besar dan bukan semua nak ambil short-cut. Dari ayam menjadi kambing kemudian lembu. Dari miskin sampai menjadi usahawan ternakan lembu. Cuma silapnya ialah dugaan dengan wanita bernama Princess. Kita hanya cenderung lihat kepada jangan berimaginasi kerana akan jatuh pokok tetapi sekiranya tiada imaginasi, sampai bila-bila kita tak ke mana-mana. Program Angkasa NASA juga bermula dari angan-angan yang kemudian diusahakan.
Yap yang juga bapa kepada Mat dalam karakter Kampung Boy nukilan Datuk Lat benar-benar menggambarkan bagaimana inovator Melayu sering gagal dan digelakkan orang kampung. Saya lebih memihak kepada Yap yang banyak menginovasi sesuatu berbanding dengan orang kampung yang konon macam bagus jer dok gelakkan Yap. Isteri Yap juga hebat kerana sentiasa sabar dengan kegagalan Yap.
Kita dah hidup dengan semua cerita rakyat yang mengekang kita berkarya menjadi generasi pencipta. Ubahnya sekarang, yang dahulu betul sekarang belum tentu lagi betulnya. Jangan takut memperbetulkan kesilapan nenek moyang kita. Kesilapan bukan untuk kita warisi.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bukan kertas peperiksaan ujiannya tetapi lapangan masalah. Kemahiran berfikir datang dari masalah yang perlu diselesaikan dan bukannya peperiksaan yang perlu dihadapi. Bagaimana boleh kita katakan sesuatu jawapan itu patut tinggi atau rendah markahnya jika kita sendiri tidak dapat melihat sejauhmana pemikiran mereka menyelesaikan masalah. Ikutkan skema, Nabi Muhammad s.a.w akan dipandang kurang bijak bila sahabat-sahabatnya tidak senang dengan tindakan nabi memeterai perjanjian Hudaibiyah. Namun, siapa boleh kata itu salah jika perjanjian 10 tahun itu berakhir hanya beberapa tahun sahaja dengan strategi Hudaibiyah itu antara faktor pembukaan Kota Makkah semula.
Pendidikan perlukan perubahan besar. Dinasour pun pandai pupus jika tidak berevolusi mengikut iklim.
SAIFUL NANG
Pengetua Pertama
(Sekolah Asnaf & Anak yatim kelolaan RPWP)
Sumber:https://warnaasia.com/2016/11/24/mengapa-pendidikan-di-malaysia-mundur-saiful-nang/
Sumber:https://warnaasia.com/2016/11/24/mengapa-pendidikan-di-malaysia-mundur-saiful-nang/
Post a Comment