Header Ads

Cabaran Memperkasa RUU 355 adalah Pahala

KOTA BHARU: Adun Bunut Payong, Dr Ramli Mamat menyatakan bahawa rakyat negeri Kelantan mendapat pahala besar kerana menjadi pelopor kepada sokongan pemerkasaan syariah dan cara hidup yang benar-benar mengikut kehendak agama.

Menurut beliau, penghijrahan paling penting ialah hijrah kita daripada mengabdikan dunia, mengabdikan diri pada manusia kepada keabdian semata kepada Allah, Tuhan yang Esa.

Penegasan itu disampaikan semasa ucapan sempena Ceramah Hijratur Rasul Peringkat DUN Bunut Payong yang diadakan di Masjid Maulana Khurasan, Kg Sireh Kota Bharu. "Allah Taala mentakdirkan kita melalui ujian dan mehnah untuk pembentangan Pindaan Akta 355 oleh Ahli Parlimen Marang, ini adalah untuk menambah pahala kepada kita," ujarnya.

Sebelum itu Adun Chetok, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman dalam ucapannya pula menyatakan sewaktu Rasulullah berhasrat untuk hijrah ke Madinah, pelbagai usaha dilakukan oleh kafir Quraisy untuk menghalang perkembangan agama Islam. Apa yang dilakukan oleh Kelantan adalah usaha untuk memarbatkan Islam di negara ini dan Kerajaan Negeri bersedia untuk memperkasa undang-undang syariah di Kelantan dengan setiap tahun menyediakan sejumlah peruntukan besar untuk tujuan itu.

"Ia sepertilah cabaran Rasullah yang berhijrah ke Madinah kerana ingin mendaulatkan syariah sebagai cara hidup manusia. "Selain dari kita bersama berusaha untuk memastikan kejayaan pindaan Akta 355 Memperkasakan Mahkamah Syariah, kita juga perlu sentiasa berdoa kepada Allah," ucapnya lagi.

Manakala Pengarah Yayasan Tok Kenali, Ustaz Tuan Syarifuddin Ismail menyatakan kekesalannya dengan kenyataan orang cerdik pandai yang bertaraf PhD mempertikaikan usaha untuk memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia.

"Undang-undang sivil ada kuasa menghukum seseorang yang merosakkan hidupan liar di hutan sehingga RM50 ribu, tetapi hakim Mahkamah Syariah hanya boleh menghukum orang mengkhianati (zina) wanita hanya RM3 ribu saja,"

"Ia menggambarkan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah terlalu rendah dan tidak sepadan dengan hakim yang bertaraf Yang Arif," katanya.

Majlis ceramah yang dianjurkan bersama Yayasan Tok Kenali tersebut juga diadakan majlis solat hajat bagi memudahkan usaha-usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah di negara ini. – HARAKAHDAILY 3/11/2016


No comments